Bank Rakyat umum dividen 13% - Utusan Malaysia

Bank Rakyat umum dividen 13%

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) dan Abd. Rani Lebai Jaafar ketika Majlis Pengumuman Dividen dan Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat berjaya mengekalkan pemberian dividen dua angka untuk tahun ke-22 apabila mengumumkan pemberian dividen 13 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, semalam.

Pemberian dividen tersebut bagaimanapun menurun satu peratus berbanding 14 peratus yang diagihkan tahun sebe­lumnya.

Jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM373.36 juta kepada 834,302 anggotanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembayaran dividen tersebut akan dilakukan serta-merta semalam.

Beliau turut berharap, pembayaran tersebut dapat membantu meringankan beban anggota Bank Rakyat yang terjejas akibat pandemik dan dapat digunakan sebagai persiapan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat kerana telah berjaya merekodkan kejayaan yang memberangsangkan sekali lagi, meskipun (berhadapan) pelbagai cabaran pada 2020 berikutan pandemik Covid-19.

“Saya percaya ini semua me­rupakan berkat sokongan berterusan daripada pe­langgan dan anggota Bank Rakyat,” katanya dalam Majlis Pengumuman Dividen dan Prestasi Kewangan Kumpulan Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar.

Untuk tahun kewangan 2020, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan bersih RM1.38 bilion dan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.44 bilion.

Abd. Rani berkata, prestasi kukuh tersebut dicapai melalui fokus Bank Rakyat terhadap aktiviti teras walaupun berada dalam persekitaran tidak menentu kesan pandemik dan pemberian moratorium.

“Selain itu, prestasi kewangan 2020 turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pendapatan pembiayaan berikutan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan margin.

“Namun demikian, peruntukan penjejasan yang lebih tinggi setelah mengambil kira potensi pembiayaan terjejas (NPF) sejajar dengan industri mengakibatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat le­bih rendah berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.83 bilion,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya