PETALING JAYA: Kelebihan yang diperoleh Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Digi.com Berhad (Digi) selepas digabungkan kelak perlulah sampai kepada pengguna dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik serta harga mampu milik.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, penggabungan kedua-dua entiti tersebut sebagai Celcom Digi Berhad (CDB) akan menjadikan kos yang dikeluarkan syarikat baharu tersebut lebih berkesan dan efisien.
Sehubungan itu, kata beliau, perkhidmatan yang akan ditawarkan kepada pengguna haruslah lebih baik dan murah, bukan sebaliknya.
“Kerajaan (juga) harus memainkan peranan untuk memantau baik dari segi harga yang ditawarkan atau kualiti perkhidmatan yang disediakan, ia harus selaras dan mengikuti standard serta tidak membebankan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Penggabungan Celcom dengan Digi adalah langkah yang perlu diambil kedua-dua syarikat tersebut supaya ia terus relevan dalam sektor telekomunikasi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beberapa sumber yang dekat dengan perkara tersebut memberitahu, penggabungan tersebut akan memberikan kelebihan kepada Celcom dan Digi dari segi kekuatan modal dan kemajuan teknologi.
Hal itu, menurut sumber tersebut, akan menguntungkan pelanggan-pelanggan Celcom dan Digi selepas ini kerana dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik serta teknologi terkini pada harga berpatutan.
Mengulas lanjut, Baharom berkata, penggabungan tersebut dijangka akan mengubah pasaran telekomunikasi Malaysia yang kini berbentuk oligopoli (dikuasai beberapa pemain yang besar) kepada duopoli (penguasaan Celcom-Digi dan Maxis).
Beliau bagaimanapun melihat penggabungan tersebut sesuatu yang amat kritikal dan perlu untuk kelangsungan syarikat telekomunikasi di Malaysia.
“Seperti mana di peringkat global, syarikat telekomunikasi di Malaysia menerima tekanan dan saingan daripada penyedia (aplikasi) mesej segera percuma seperti Whatsapp dan lain-lain.
“Di atas kertas, duopoli akan memberi ruang pencatutan harga yang lebih untuk syarikat telekomunikasi ini membuat keuntungan yang lebih akibat persaingan yang semakin kurang,” katanya. – UTUSAN










