TNB mahu jadi pembekal penyelesaian tenaga mampan terkemuka - Utusan Malaysia

TNB mahu jadi pembekal penyelesaian tenaga mampan terkemuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhasrat menjadi pembekal penyelesai­an tenaga mampan terkemuka di Malaysia dan antarabangsa.

Menurut syarikat utiliti itu, di bawah komitmen kelestarian Kumpulan, TNB menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sejumlah 8.3 gigawatt (GW) menjelang 2025.

“Kumpulan juga berhasat untuk berhenti melabur dalam loji janakuasa arang batu baharu (greenfield) dan mengehadkan pendapatan daripada loji janakuasa arang batunya pada 25 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Seiring dengan hasrat syarikat dan dalam usaha menyokong sambutan Earth Hour sedunia, justeru TNB menyarankan para pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah demi masa depan yang lestari.

Menurut syarikat tenaga itu, langkah paling mudah untuk pengguna menjimatkan tenaga di kediaman mahupun premis masing-masing adalah dengan mematikan lampu.

Lebih penting lagi katanya, faktor gaya hidup mempunyai impak lebih besar terhadap pelepasan karbon.

“Semua pengguna boleh menjalankan peranan mereka dalam usaha menyelamatkan planet ini menerusi pengurangan jejak karbon dengan menggunakan peralatan elektik cekap tenaga serta mengamalkan penggunaan elektrik yang bijak,” katanya.

Tambah TNB, antara langkah mudah yang boleh dilakukan oleh pengguna ialah menetapkan sistem pendingin hawa antara 24 hingga 26 darjah celsius, selain mematikan lampu atau peralatan bukan elektrik lain sekiranya tidak digunakan.

Pelanggan juga katanya, boleh memperoleh lebih penjimatan dalam bil elektrik mereka dengan menggantikan lampu biasa kepada LED yang lebih cekap tenaga di sam­ping mengeringkan jemuran di bawah matahari, berbanding menggunakan pengering selepas mencuci pakaian.

Jelas TNB, sebagai sebuah syarikat utiliti yang bertanggungjawab, pihaknya sentiasa berusaha untuk menggunakan teknologi yang bersih dan mesra alam dalam penjanaan elektrik.

Earth Hour adalah kempen tahunan sedunia yang dianjurkan The World Wide Fund for Nature (WWF) bagi menggalak­­kan individu, komuniti dan perniagaan untuk mematikan lampu elektrik bukan penting selama sejam bermula 8:30 sehingga 9:30 malam pada Sabtu terakhir dalam Mac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya