RM150 juta bantu usahawan - Utusan Malaysia

RM150 juta bantu usahawan

AZIZAH Mohd. Dun (belakang, tengah) dan Norati Ibrahim (belakang, dua dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Tawaran Pembiayaan PMB TIJARI Berhad oleh wakil lima buah syarikat di Wisma PMB, Kuala Lumpur, semalam.– utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PMB Tijari Berhad, anak syarikat Pelaburan Mara Berhad (PMB) menyasarkan pembiayaan sebanyak RM150 juta pada tahun ini bagi membantu antara 100 hingga 150 orang usahawan berpotensi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari Berhad, Norati Ibrahim berkata, jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding pembiayaan sebanyak RM210 juta yang disalurkan pada tahun lalu dengan had pembiayaan maksimum RM5 juta bagi setiap syarikat.

Beliau berkata, pengurangan itu disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak usahawan mengalami kekurangan projek.

“Mandat kami ialah untuk membantu usahawan yang telah mendapat kontrak bekalan atau lulus lantikan sebagai vendor oleh pihak kerajaan dan swasta, tetapi tidak mampu meneruskan proses bekalan kerana kekurangan kapasiti kewangan.

“Syarikat usahawan mempunyai kepakaran, pengalaman dan kebolehan tetapi kadang-kadang tidak berupaya memperoleh pinjaman daripada pihak bank atau institusi kewangan lain mungkin kerana fasa perniagaan mereka terlalu kecil,” katanya dalam majlis menandatangani surat tawaran pembiayaan kepada usahawan PMB Tijari di sini, semalam.

Pada majlis itu, PMB Tijari turut memperkenalkan lima lagi syarikat yang dibantu melibatkan pembiayaan berjumlah RM18 juta.

Menurut Norati, pihaknya berusaha memberi pembiayaan kepada syarikat-syarikat yang telah mempunyai tender, pesanan atau kontrak tetapi tidak memiliki kewangan kukuh untuk berkembang.

Beliau berkata, sejak Januari lalu, PMB Tijari sudah meluluskan pembiayaan sebanyak RM40 juta kepada 12 usahawan termasuk lima usahawan terbabit.

Tambahnya, PMB Tijari juga akan terus memantau prestasi dan pencapaian syarikat agar mereka berupaya untuk membayar balik pinjaman.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun memberitahu, pihaknya berbesar hati kerana dapat membantu usahawan-usahawan yang memerlukan.

“Dengan cara ini, kami juga dapat ramaikan lagi usahawan bumiputera. Saya harap usahawan-usahawan di luar sana sedar akan kemudahan yang diberikan kepada mereka ini untuk memajukan diri, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi dalam negara,” katanya.

Sehingga kini, PMB Tijari telah membiayai hampir 210 usahawan daripada pelbagai sektor melibatkan pembiayaan kira-kira RM400 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.