PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan hampir RM72 bilion simpanan persaraan masing-masing di bawah skim i-Sinar dan i-Lestari setakat ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM52.48 bilion adalah pengeluaran di bawah skim i-Sinar yang diluluskan setakat 14 Mac lalu membabitkan 5.94 juta pemohon.
Bagi skim i-Lestari pula, sejumlah RM19.45 bilion pengeluaran telah diluluskan setakat 12 Mac lalu membabitkan 5.23 juta ahli. Jumlah itu meningkat berbanding RM18.58 bilion dengan 5.18 juta penerima pada minggu sebelumnya.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Laporan Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, Permai, Kita Prihatin, Penjana dan Prihatin (Laksana) ke-46 semalam
Menurut beliau, untuk skim i-Sinar sejumlah RM32.74 bilion pengeluaran telah dikreditkan ke dalam akaun pemohon.
Kata beliau, kelayakan permohonan kemudahan i-Sinar juga telah ditambah baik mulai 8 Mac lalu bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup kesan wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, perancangan persaraan adalah penting dan orang ramai disyorkan untuk menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang disediakan KWSP secara percuma untuk tujuan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bagi skim pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), sebanyak 7,205 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pinjaman membabitkan RM1.36 bilion, setakat 12 Mac lalu.
Beliau berkata, di bawah program itu, kerajaan telah memperuntukan RM2 bilion dengan keutamaan diberi kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan sebelum ini.
Di bawah Program Subsidi Upah (PSU), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjara pula kata beliau, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat tersebut.
“Setakat 12 Mac lalu, permohonan subsidi upah yang diluluskan bernilai RM12.84 bilion,” katanya.
Tambah Tengku Zafrul lagi, di bawah PSU 2.0, sejumlah RM1.09 bilion telah disalurkan kepada 72,531 majikan bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan terus menggaji 619,821 pekerja.
Beliau turut memaklumkan bahawa institusi perbankan tempatan telah meluluskan sejumlah RM11.75 bilion di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank negara Malaysia (BNM).
Jumlah itu termasuk Dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Pendigitalan (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF). – UTUSAN