Paten: Intel diarah bayar RM8.83 bilion - Utusan Malaysia

Paten: Intel diarah bayar RM8.83 bilion

Intel dilaporkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan juri di Waco, Texas yang memerintahkan syarikat terbabit membayar denda RM8.83 bilion atas dakwaan pelanggaran paten. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Intel Corp. diarah membayar AS$2.18 bilion (RM8.83 bilion) kepada VLSI Technology LLC kerana didapati bersalah melanggar dua hak cipta atau paten asas teknologi berkaitan pembuatan cip.

Denda itu merupakan antara bayaran tertinggi dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) membabitkan pelanggaran paten.

Juri di Waco, Texas turut menolak penafian Intel untuk pelanggaran kedua-dua paten tersebut dan hujahnya bahawa satu daripada paten itu tidak sah kerana dihasilkan oleh jurutera Intel.

Peguam Intel, William Lee dari WilmerHale dalam penutupan hujahnya berkata, paten tersebut dimiliki oleh pembuat cip Belanda, NXP Semiconductors Inc., yang akan mendapat keuntungan daripada pembayaran.

“VLSI, yang ditubuhkan empat tahun lalu, tidak mempunyai produk dan satu-satunya potensi pendapatannya adalah daripada tuntutan undang-undang ini,” katanya.

Intel tidak bersetuju dengan keputusan juri semalam dan akan membuat rayuan.

Peguam VLSI, Morgan Chu, memaklumkan bahawa hak paten merangkumi penemuan yang meningkatkan kekuatan dan kelajuan pemproses, yang juga merupakan isu utama untuk persaingan.

“Intel sengaja tidak melihat sama ada syarikat itu menggunakan ciptaan orang lain. Nilai bayaran denda itu tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan berbilion cip yang dijual oleh Intel,” katanya.

Juri menegaskan, tidak ada pelanggaran yang disengajakan. Penemuan itu membolehkan Hakim Mahkamah Daerah, Alan Albright meningkatkan lagi bayaran denda sehingga tiga kali ganda jumlah yang ditetapkan oleh juri.

Nilai denda itu kira-kira separuh daripada keuntungan suku keempat Intel. Syarikat itu telah menguasai industri cip bernilai AS$400 bili­on (RM1.6 trilion) selama hampir 30 tahun lalu.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya