MyDIGITAL memperkasa pasaran digital negara - Utusan Malaysia

MyDIGITAL memperkasa pasaran digital negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemajuan teknologi digital semakin berkembang pesat dengan kadar yang amat pantas. Ia juga telah menyuntik pengaruh yang besar dalam perubahan trend pasaran dan gaya hidup masyarakat di seluruh dunia. Jika beberapa tahun dahulu, teknologi digital adalah landasan bagi memudahkan komunikasi dan rujukan informasi, kini ia lebih dari sekadar itu. Teknologi digital pada masa kini telah menjadi nadi penggerak ekonomi serta amalan kehidupan seharian.

Perubahan trend pasaran yang sedang berlaku ini adalah rantaian daripada perkembangan yang dicetuskan oleh revolusi perindustrian keempat di seluruh dunia. Krisis pendemik Covid-19 yang sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya juga turut menjadi faktor yang mempercepatkan lagi peralihan trend digital sebagai platform pilihan terbaik yang kos efektif dan selamat dalam memudahkan pelbagai urusan. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan ini dan perlu bertindak progresif untuk terus melangkah maju.

Atas faktor tersebut, MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini merupakan inisiatif yang wajar pada masanya. Pengukuhan dasar bermula dengan menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara pertama di rantau ini yang bakal menyediakan prasarana ekosistem internet bertaraf 5G, iaitu kemudahan capaian internet terpantas yang lebih kos efektif dan efisien.

Pembangunan teknologi 5G ini juga dijangka bakal menjadi game changer yang menyokong pertumbuhan lebih banyak perkhidmatan pintar dalam memangkin perubahan pasaran kepada pengukuhan landskap ekonomi digital yang lebih mampan. Ini bermaksud, kemudahan berasaskan digital atau urus niaga secara dalam talian bakal menjadi tunggak yang akan dibudayakan secara lebih meluas dalam kalangan perniagaan dan pengguna di Malaysia dalam pelbagai sektor pasaran.

Selain itu, pelan ini turut menyasarkan sekitar 500,000 peluang pekerjaan dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi digital. Ia dijangka bakal menyumbang 22.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Kerajaan juga akan menggalakkan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam memanfaatkan potensi e-dagang di bawah naungan MyDIGITAL yang dianggarkan memangkin sebanyak 5,000 syarikat permulaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan inisiatif yang telah dilancarkan ini secara keseluruhannya menegaskan bahawa pemerkasaan ekonomi digital merupakan landasan yang sangat penting. Selain persediaan dari aspek infrastruktur digital, setiap usahawan dan perniagaan kini perlu melengkapkan pengetahuan dan kemahiran modal insan dalam mendepani cabaran pasaran era baharu yang semakin sengit.

Potensi pasaran digital ini bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk mengembangkan lagi prospek pasaran ke peringkat antarabangsa, tetapi juga sebagai pengukuhan mendepani persaingan pasaran tempatan yang kini turut dibanjiri dengan memasukkan perniagaan dari luar negara yang menawarkan pelbagai produk secara dalam talian dan telah pun bertapak kukuh di pasaran digital tempatan. Peralihan trend pengguna yang semakin selesa dengan urus niaga secara dalam talian juga menjadi faktor menyuburkan lagi pertumbuhan ini.

Oleh itu, penguasaan kemahiran serta pengukuhan aset digital usahawan tempatan melalui integrasi pemasaran seperti laman sesawang dan e-dagang, saluran media sosial serta penglibatan di pelbagai ruangan marketplace adalah menjadi tuntutan yang perlu sentiasa ditambah baik mengikut arus semasa untuk terus berkembang dan menyokong pengukuhan ekonomi digital negara.

Inisiatif MyDIGITAL serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia ini menjadi landasan penting kepada usahawan tempatan memanfaatkan peluang dalam memperkasa kemahiran dan kreativiti digital serta memperkukuh potensi pasaran tempatan mahupun global.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN