MAHB sedia perkhidmatan pemeriksaan keselamatan  - Utusan Malaysia

MAHB sedia perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 

Penularan pandemik Covid-19 menjejaskan industri penerbangan global dan domestik dengan syarikat mengalami kerugian menyebabkan banyak pekerja diberhentikan.– UTUSAN/ ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan swasta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agar penumpang dapat menikmati pelepasan lebih cepat dan selamat.

Langkah itu bertujuan meningkatkan pengalaman penumpang dan mengembalikan keyakinan mereka dalam perjalanan udara.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pada Disember lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meramalkan lalu lintas penumpang akan pulih pada 2021 antara 94.2 dan 100.3 peratus tahun ke tahun.

“Berdasarkan apa yang telah kita lihat di lapangan terbang sendiri dan di seluruh dunia, langkah-langkah keselamatan tambahan boleh menyebabkan waktu menunggu yang lama dalam barisan yang panjang.

“Itu akan memberi kesan buruk kepada pengalaman penumpang dan kami ingin mengelakkan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MAHB akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan perkhidmatan itu dan telah pun mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa untuk melaksanakan perkara tersebut.

Semua prosedur dalam perkhidmatan itu akan dipandu oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan kesihatan keselamatan kekal terjaga.

Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, sementara pihaknya berusaha untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan terhadap keselamatan perjalanan udara, kerjasama antara negara-negara seperti membuat laporan kesihatan yang diakui secara global juga akan memberi impak positif terhadap pemulihan industri penerbangan.

“Pengenalan  Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) merupakan contoh yang baik kerana ia akan mengurus dan mengesahkan maklumat ujian atau vaksin antara kerajaan, syarikat penerbangan, makmal dan pelancong.

“Pada bulan lalu, Malaysia Airlines telah menggabungkan pas kesihatan digital itu ke dalam aplikasi mereka. Syarikat penerbangan lain yang telah melakukannya termasuk Singapura Airlines dan Qatar Airways,” tambahnya.

Dengan Pas Perjalanan IATA, pelancong dapat mengawal maklumat peribadi mereka kerana ia menyimpan data yang dienkripsi pada peranti mudah alih pelancong.

Dari segi keselamatan privasi, tidak ada pangkalan data atau pusat respositori data yang menyimpan maklumat pengguna kerana aplikasi itu dibuat dengan piawaian tertinggi undang-undang pelindungan data.

“Kerajaan dan industri di seluruh dunia sedang melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu supaya ekonomi global dapat pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya