Lebih baik tuju pendapatan lestari - Utusan Malaysia

Lebih baik tuju pendapatan lestari

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh pada tahun ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu tunduk kepada kayu ukur negara berpendapatan tinggi yang berat sebelah dan tidak mampu menggambarkan kemakmuran ekonomi sebenar.

Sebaliknya, pembangunan negara harus dikiblatkan kepada konsep negara berpendapatan lestari yang menitikberatkan kepentingan agihan kekayaan secara saksama dan menyeluruh.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ukuran negara berpendapatan tinggi menunjukkan pendapatan purata yang agak tinggi namun hanya berlegar dalam kelompok kecil yang mempunyai pendapatan sangat tinggi.

“Mereka mempunyai jurang pendapatan yang luas dengan kebanyakan rakyat yang lain. Malah ia diukur dengan pendapatan sahaja tanpa mengambil kira kualiti kehidupan yang lain secara umumnya.

“Lebih baik kita menuju ke arah negara berpendapatan lestari daripada mengejar negara berpendapatan tinggi. Ia juga selari dengan aspirasi negara, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, Malaysia perlu menyemak semula model pembangunan, cara polisi ditetapkan dan peranan kerajaan serta institusi untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi negara pada masa hadapan.

Prasyarat tersebut digariskan beliau sebagai persediaan untuk peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang dijangka dicapai dalam tempoh lima tahun.

Ia berikutan pelancaran Laporan Utama Bank Dunia: Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development.

Baharom menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan faedah daripada pertumbuhan ekonomi negara dapat dikongsi secara bersama oleh setiap golongan masyarakat, bukan hanya konglomerat atau syarikat gergasi.

Kata beliau, apatah lagi jika syarikat atau konglomerat tersebut bukan milik negara atau syarikat tempatan, tetapi boleh mengaut keuntungan atau laba daripada pemulihan ekonomi negara.

“Kerajaan harus memastikan golongan yang terkesan teruk akibat krisis ekonomi berpunca daripada pandemik Covid-19 dapat kembali bertapak. Kerajaan harus memastikan jurang pendapatan tidak menjadi lebih besar dan kadar pengangguran dapat dikurangkan kembali.

“Kerajaan juga harus memandang berat rungutan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengatakan hanya 3.2 peratus daripada mereka menerima bantuan. Jika semua ini tidak dilaksanakan, kita bakal tergelincir daripada matlamat WKB 2030,” katanya.

Tambah beliau lagi, berbeza dengan saranan pihak tertentu, beliau lebih suka jika kerajaan dapat menjadikan negara-negara Scandinavia seperti Norway, Finland dan Denmark sebagai rujukan dalam membangunkan ekonomi negara.

“Secara umumnya, tahap pendapatan, kesihatan dan pendidikan mereka agak jauh lebih maju, terkehadapan dan saksama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN