Hutang negara masih di bawah had statutori - Utusan Malaysia

Hutang negara masih di bawah had statutori

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan, hutang negara ketika ini masih di bawah had statutori dan akan terus memantaunya bagi memastikan ia terkawal.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, kerajaan masih menggunakan definisi hutang statutori yang sama sejak 2009 melibatkan instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

“Jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan ini pada akhir Disember 2020 ialah 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang ini ialah 54 peratus KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini.

“Jadi, masih belum melepasi had hutang statutori pada 60 peratus,” katanya dalam Laporan Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2021, Permai, Kita Prihatin, Penjana dan Prihatin (Laksana) ke-46 semalam.

Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa jumlah hutang negara telah melepasi had hutang statutori pada 62 peratus akhir Disember lalu.

Kata Tengku Zafrul, had tersebut masih belum dilepasi walaupun kerajaan mengutamakan bantuan kepada rakyat dengan menyuntik RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa pakej rangsangan.

Menurut beliau, dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu mengimbangi antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara namun apabila berada dalam krisis ekonomi, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan menjadi lebih besar menyebabkan paras hutang negara juga meningkat.

“Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.

“Tanpa keyakinan mereka, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu menguruskan hutang termasuk hutang legasi yang diwujudkan kerajaan terdahulu namun ia bukan alasan untuk kerajaan tidak berbelanja untuk rakyat.

“Kerajaan tetap utamakan perbelanjaan untuk rakyat melalui Strategi 6R (ketegasan-resolve, ketahanan-resilient, memulakan semula-restart, pemulihan-recovery, memperkasa-revitalise dan menyusun semula-reform),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya