Harga minyak lonjak Bursa Malaysia - Utusan Malaysia

Harga minyak lonjak Bursa Malaysia

HARGA minyak mentah terus mencatatkan trend turun naik antaranya disebabkan penularan Covid-19 dan peningkatan inventori oleh sesetengah negara pengeluar. – AGENSI - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia semalam ditutup 11.69 mata lebih tinggi pada 1,611.81 mata selepas kaunter-kaunter berkaitan minyak dan gas melonjak naik kesan peningkatan harga minyak dunia.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, faktor utama berlakunya kenaikan tersebut adalah apabila harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$70 (RM283) buat pertama kali sejak pandemik Covid-19.

Kata Adam, kenaikan harga Brent berpunca daripada serangan dron kumpulan Houthi dari Yaman ke atas pusat pemprosesan dan penapisan minyak di Arab Saudi yang menimbulkan jangkaan bahawa bekalan minyak akan terganggu.

“Oleh itu, kaunter-kaunter berkaitan minyak dan gas telah naik, menyebabkan indeks FBM KLCI turut naik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Reuters melaporkan harga hadapan minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$70 semalam, pertama kali sejak pandemik Covid-19 bermula sementara minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mencatat harga ter­tingginya dalam tempoh lebih dua tahun berikutan serangan ke atas fasiliti Arab Saudi.

Harga hadapan minyak mentah Brent untuk Mei mencecah AS$71.38 (RM288.58) dalam dagangan awal Asia, tertinggi sejak 8 Januari 2020.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk April meningkat AS$1.60 (RM6.47) atau 2.4 peratus kepada AS$67.69 (RM273.66). Harga hadapan WTI sebelum itu mencecah AS$67.98 (RM274.83) setong, tertinggi sejak Oktober 2018.

Mengulas lanjut, Adam menjangkakan FBM KLCI akan berlegar sekitar paras 1,600 mata ke 1,625 mata minggu ini.

“Ia memandangkan masih terdapat risiko daripada mutasi baharu Covid-19 yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terbantut,” katanya.

Dari segi kaunter, Adam berkata, kaunter perbankan adalah antara kaunter yang menguntungkan selain daripada kaunter tenaga yang sedia menerima impak positif daripada kenaikan harga minyak.

“Kaunter perbankan mempunyai pemberat paling tinggi antara ahli-ahli indeks FBM KLCI juga merupakan sektor yang menarik minat ramai pelabur memandangkan sentimen yang cerah mengenai pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan program vaksinasi negara,” katanya.

Dalam pada itu, kaunter-kaunter minyak dan gas antara yang aktif diniagakan di Indeks Tenaga Bursa Malaysia dengan merekodkan kenaikan sebanyak 5.07 peratus kepada 999.73 mata pada sesi awal dagangan semalam, menghampiri paras tertinggi setahun lalu.

Antara kaunter yang aktif didagangkan ialah Dagang NeXchange Bhd. (DNeX), yang naik 8.5 sen atau 13.39 peratus , Sapura Energy Bhd. menokok kepada 17 sen, paras sama setahun lalu, sebelum ditutup pada 16.5 sen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya