PETALING JAYA: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) perlu merancang beberapa strategi baharu termasuk mencari rakan niaga daripada industri teknologi atau barangan perubatan yang semakin meningkat kebelakangan ini dalam usaha melancarkan penstrukturan semula Malaysia Airlines.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, strategi itu wajar dipertimbangkan memandangkan pasaran semasa lebih terarah kepada industri berkenaan.
Ujarnya, Khazanah perlu mencari rakan strategi niaga dari dua industri itu untuk melabur dalam aset nilai tinggi sewaktu harga masih rendah pada masa ini sekali gus akan memberikan pulangan yang tinggi apabila sektor-sektor penerbangan dan perhotelan kembali normal.
“Berdasarkan kesan pandemik Covid-19 yang menyebabkan peningkatan kerugian dari RM4.9 bilion pada 2019 kepada RM6 bilion tahun lalu, jelas menunjukkan ketidakmampuan berdaya saing sukuk yang diterbitkan dahulu untuk memenuhi komitmen yang telah dipersetujui.
“Situasi pandemik dijangka dapat dikawal pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. Sektor pelancongan dan pengangkutan seluruh dunia pula dijangka pulih dua atau tiga tahun lagi.
“Dengan nilai aset yang tinggi, pastinya pakej yang mengandungi Malaysia Aviation Group Bhd. (MAGB), Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Themed Attraction Resorts & Hotels (TAR&H) berpotensi untuk meningkat kembali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Tambah beliau, keputusan Khazanah untuk membatalkan sukuk bernilai RM1.5 bilion yang bertujuan untuk penstrukturan semula Malaysia Airlines juga semestinya telah dibuat setelah menimbang implikasi sekiranya diteruskan.
“Kesimpulannya, hakikat pelaburan adalah jelas di mana risiko tinggi memberikan pulangan tinggi, sebaliknya risiko rendah memberikan pulangan yang rendah,” jelasnya.
Malaysia Airlines Isnin lalu mengesahkan penstrukturan semula syarikat sekali gus bon atau sukuk Islam kumpulan sehingga RM1.5 bilion akan dibatalkan pada Isnin depan.
Pembatalan itu melibatkan bon Islam di bawah kod saham PZ160003 dan PZ160004.
CIMB Investment Bank Bhd., sebagai fasilitator sukuk Musharraf yang tidak dinilai sehingga RM1.5 bilion turut memaklumkan untuk merujuk kepada pemegang amanah sukuk bagi keterangan lebih lanjut.
Bagaimanapun, pemakluman CIMB menerusi laman web Sistem Automatik Penuh (FAST) Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin, tidak menyatakan nama pemegang amanah untuk sukuk Malaysia Airlines itu. – UTUSAN










