Bagaimana mahu capai WKB2030? - Utusan Malaysia

Bagaimana mahu capai WKB2030?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian per­kongsian kemakmuran secara bersama seperti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 hanya tinggal angan-angan jika isu jurang pendapatan terus menghantui negara.

Ia semakin jelas apabila semalam, media melaporkan kenaikan upah eksekutif dalam industri perbankan sehingga lebih 10 peratus malah sebahagiannya menerima bonus serta faedah sehingga ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, rakyat menjadi bingung dengan perkembangan ini kerana sepanjang menghadapi kesukaran akibat pandemik tahun lalu, pelbagai rayuan dan permintaan yang diutarakan ditolak dengan pelbagai alasan oleh industri perbankan.

“Persoalan yang bermain dalam fikiran orang ramai, jika benar alasan yang dikemukakan pihak perbankan, bagaimana boleh memberikan kenaikan (upah eksekutif) sebegini? Apakah wajar mereka dihadiahkan bonus dan faedah seperti ini?

“Sebelum ini, alasan demi alasan diberikan. Daripada masalah regulatori sehingga dikatakan boleh menyebabkan ketidakstabilan sistem kewangan. Hingga ada yang agak ekstrem, boleh menyebabkan kerugian yang besar dan tidak mampu ditanggung pihak perbankan.

“Mana mungkin kita ber­kongsi kemakmuran bersama jika nikmat kemakmuran dibolot oleh segelintir golongan elit manakala kesengsaraan yang diburukkan lagi oleh krisis ekonomi menjadi milik eksklusif golongan marhaen di tangga 40 peratus tercorot?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, The Malaysian Reserve melaporkan, sekurang-kurangnya tiga ketua pegawai eksekutif menerima kenaikan upah lebih daripada 10 peratus untuk tahun kewangan 2020 ketika bank masing-masing melaporkan kos overhed yang lebih rendah kerana langkah penjimatan yang dijalankan.

Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad (Maybank), Datuk Abdul Farid Alias yang menerima RM9.4 juta ganjaran pada tahap kumpulan pada 2020, meningkat 10.2 peratus berbanding RM8.43 juta pada tahun kewangan 2019.

Laporan itu turut menyenaraikan ganjaran ketua eksekutif kebanyakan bank. Imbuhan yang diterima itu berdasarkan laporan tahunan bank tempatan yang menyenaraikan imbuhan diterima ketua eksekutif dan pengarah syarikat.

Tahun lalu, kebanyakan bank mencatatkan penurunan keuntungan berikutan wabak Covid-19.

Menurut Baharom, perkembangan tersebut tidak mengejutkan bagi penganalisis dan penyelidik yang telah lama menyedari kewujudan jurang, khususnya dari segi pendapatan intraorganisasi.

Kata beliau, Suruhanjaya Sekuriti sebelum ini pernah melaporkan nisbah gaji antara ketua pegawai eksekutif de­ngan pekerja mencecah sehingga 203 kali ganda dalam sektor te­lekomunikasi manakala dalam sektor kewangan yang turut melibatkan perbankan, perbezaannya mencecah 154 kali ganda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN