MUKADIMAH
Sebagai sebuah institusi yang menguruskan dana umat Islam mengerjakan ibadah haji, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak terlepas daripada kontroversi sejak beberapa tahun ini.
Mengambil alih tampuk kepemimpinan institusi itu sejak 1 September 2019, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, DATUK NIK MOHD. HASYUDEEN YUSOFF mempunyai misi dan visi jelas bagi mengembalikan lembaga tersebut ke landasan tepat.
Ikuti wawancara eksklusif Nik Mohd. Hasyudeen bersama Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia, YULPISMAN ASLI; Wartawan, AFIQ MOHD. SHAH dan Jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI, baru-baru ini.
———————————-
UTUSAN MALAYSIA: Selepas menerajui TH sejak September 2019, apa yang Datuk boleh simpulkan tentang institusi ‘milik’ umat Islam ini?
DATUK NIK MOHD. HASYUDEEN: Berdasarkan apa yang saya perhati perbincangan dalam masyarakat, bila orang bercerita tentang TH, mungkin ada terlepas pandang mengenai tujuan asal TH ditubuhkan.
Perkara ini penting kerana kalau kita lupa matlamat penubuhan TH, orang akan cakap secara rambang dan mungkin lari daripada konteks.
Di Malaysia, kita ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu tujuan menabung untuk hari tua. Apabila kita simpan duit, KWSP akan laburkan dan hanya boleh keluarkan duit masa umur anda 55 tahun. Sama juga dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang bertujuan meningkatkan pegangan saham bumiputera dalam syarikat tersenarai.
TH pula sebagaimana kita maklum sejak tahun 1963, ia ditubuhkan untuk membantu umat Islam mengerjakan ibadah haji. Kita nampak mudah tetapi penting supaya bila kita tanya bagaimana TH dijalankan, prinsip dan strategi kena kembali kepada konsep asas. Jika tidak, mungkin ramai akan buat perbandingan dengan KWSP atau PNB. Sebagai contoh adalah dari segi pulangan sedang ketiga-tiga institusi ini berbeza konsepnya.
Bagaimana dengan operasi TH ketika ini dari segi deposit yang diuruskan?
Hari ini, sekiranya ada umat Islam nak mendaftar haji, hakikatnya mereka perlu menunggu lebih daripada 100 tahun. Itu kenyataan. Maknanya, TH kena pastikan boleh jadi sebuah institusi berterusan supaya apabila sampai masa mereka boleh ke Mekah, mereka boleh keluarkan semula duit mereka.
Kita kena rangka untuk jangka masa panjang, bukan pecut sebab kita nak tengok ke depan. Kita mahu jadi institusi Islam yang dihormati di atas pencapaian dan tadbir urus. Pencapaian dari segi pengurusan dana yang kita ada termasuk kerja haji dilaksanakan dan operasi TH. Keduanya, kita mahu tadbir urus yang baik kerana kita menguruskan aset umat Islam yang banyak. Alhamdulillah, pada penghujung tahun 2020 deposit dah pun sampai RM76 bilion.
Ia menunjukkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam kepada TH semakin tinggi sebab itu kita kena rancang bagaimana mahu laburkan deposit dengan cara yang sepadan dengan matlamat TH. Kita nak deposit lebih selamat dan pulangan berterusan serta munasabah supaya menampung keperluan jemaah menabung untuk mengerjakan haji.
Apa perkara yang Datuk fokuskan untuk pentadbiran TH ketika ini?
Ada enam perkara yang kita beri tumpuan. Pertamanya pentadbiran deposit iaitu kita mahu pastikan untuk melabur dalam keadaan memberi pulangan tetapi risikonya berpadanan dengan matlamat TH. Kita melabur dalam instumen yang ada pendapatan tetap dari segi sukuk misalnya yang memberi pulangan lebih stabil.
Lebih daripada separuh atau 55 peratus aset kita laburkan dalam bentuk pendapatan tetap macam sukuk. Dalam masa sama, kita juga melabur dalam ekuiti untuk dapatkan dividen. Kita juga nak pastikan sesetengah perniagaan memberi pulangan dari segi impak ekonomi terhadap masyarakat.
Keduanya, pentadbiran haji. Alhamdulillah, kita antara terbaik di dunia. Cuma, musim haji tahun ini belum lagi ditetapkan kerajaan Arab Saudi. Walau bagaimanapun, kami terus memperbaiki urusan haji dan dalam proses membentuk blueprint haji untuk lima tahun akan datang iaitu dari aspek kualiti perkhidmatan haji dan satu lagi dari segi kos.
Ketiga, kita mahu pastikan penambahbaikan tadbir urus iaitu menerusi sistem dan proses. Kita tetapkan selera risiko kita dan tambah baik modal insan.
Seterusnya, kita mahu memberi tumpuan kepada operasi. Kalau kita lihat dalam masa satu tahun ini, banyak program telah dilaksanakan yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan dalam talian. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kita punya deposit naik sekali gus menunjukkan pendeposit dapat berurusan dengan TH walaupun tanpa datang ke cawangan.
Kelima, kita juga mahu memberi perhatian kepada modal insan dan akhir sekali, fokus kita adalah kepada Kumpulan TH itu sendiri bagi memastikan bukan sahaja syarikat ini dapat terus berniaga dengan baik dalam suasana pasaran mencabar tetapi dari segi impak atau kesan kepada masyarakat juga bertambah.
Ramai yang menantikan tentang agihan pendapatan TH. Apa yang Datuk boleh katakan tentang agihan untuk tahun kewangan 2020?
Pada tahun 2019, kita telah menutup akaun deposit pada tahap RM69 bilion dan jumlah itu meningkat sebanyak RM7 bilion tahun lalu kepada RM76 bilion. Ia sekali gus menunjukkan keyakinan dan kepercayaan pendeposit semakin bertambah serta dari segi operasi kita boleh melayan pelanggan tanpa mereka perlu hadir ke pejabat atas dasar kita telah ada banyak kaedah yang membolehkan pendeposit berurusan dengan TH.
Ia juga menunjukkan walaupun ada pandemik, umat Islam masih serius nak jaga agama untuk mengerjakan haji.
Dari segi perancangan tentu kita mahu tabungan yang stabil. Ia mungkin dipengaruhi oleh keadaan ekonomi. Kebiasaannya pada bulan Februari atau Mac, TH akan umumkan tentang pengagihan keuntungan. Cuma berapa kadarnya itu kita masih dalam proses menutup akaun.
Walau bagaimanapun, kita masih mahu pastikan apabila kita umum nanti ia adalah asas pengumuman yang kukuh. Cuma dalam keadaan sekarang, realitinya pasaran memang ada tekanan. InsyaAllah, kita nak cuba beri pulangan lebih stabil dalam jangka masa panjang.
Institusi ini dimiliki ramai orang iaitu lebih kurang sembilan juta pendeposit. Sekarang, kita mempunyai strategi jelas. Kita bukannya tidak mahu mengambil risiko tetapi kita cuba dapatkan yang terbaik daripada situ. Cara kita agihkan aset juga penting supaya ia masih lagi dapat beri pulangan munasabah. Satu hal lagi yang perlu diambil kira, agihan pendapatan ini telah diambil kira zakat di atas simpanan dan keuntungan berbeza dengan institusi lain. Ini memberi kelebihan kepada TH.
Adakah Datuk merasakan momentum peningkatan simpanan deposit itu akan berterusan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini?
Alhamdulillah, setakat awal tahun ini kita masih lihat trend yang sama berterusan. Saya tak dapat nak pastikan secara mendalam mengapa tetapi apa yang penting sebagai sebuah institusi, kepercayaan dan keyakinan itu mustahak dan kita mahu kekalkannya. – UTUSAN










