Stanley Choi sertai Kumpulan AirAsia - Utusan Malaysia

Stanley Choi sertai Kumpulan AirAsia

Stanley Choi Chiu Fai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad mengumumkan Dr. Stanley Choi Chiu Fai sebagai pemegang saham penting Kumpulan syarikat melalui entiti milik penuhnya Positive Bloom Ltd. dengan 167.1 juta saham melalui tahap pertama penempatan swasta.

Ini sekali gus meningkatkan pegangan sahamnya dalam Kumpulan kepada 332.5 juta saham bersamaan dengan 8.96 peratus.

Pengerusi Head & Shoulders Financial Group itu berkata, beliau percaya perjalanan udara akan pulih di bawah kepimpinan Tan Sri Tony Fernandes di samping pelaksanaan vaksin di seluruh negara.

“Saya berasa sukacita menjadi seorang daripada pemegang saham penting dalam AirAsia Group. Saya percaya cabaran terburuk dalam sejarah industri penerbangan kini telah berlalu. 

“AirAsia mempunyai masa depan yang amat cerah. Saya berharap dapat bekerjasama dengan semua orang di AirAsia,” katanya.

Dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya, Stanley memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan projek penggabungan dan pengambilalihan, dengan tumpuan khusus pada pelaburan ekuiti swasta. 

Beliau juga merupakan pelabur tahap awal untuk Kidswant, sebuah syarikat permulaan dari China yang kini menjadi peruncit produk ibu, bayi dan kanak-kanak terkemuka di China bernilai lebih daripada AS$3 bilion (RM12.11 bilion).

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group, Datuk Kamarudin Meranun berbesar hati menyambut Stanley sebagai pemegang saham strategik syarikat memandangkan ahli perniagaan itu mempunyai rekod prestasi cemerlang dan reputasi yang kukuh dalam dunia perniagaan.

“Kami yakin beliau dapat menambah nilai dalam pengembangan perniagaan digital kami di China melalui pengalaman dan jaringan yang luas dengan pemain-pemain digital terkemuka di negara tersebut.

“Sebagai pengerusi sebuah syarikat terbesar di Hong Kong, Stanley mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam perniagaan pelaburan dan sebagai ahli YunFeng Capital, beliau bukan sahaja membuka akses yang besar kepada beberapa perniagaan utama di China, malah membuka peluang untuk kerjasama sinergi dengan negara ASEAN,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya