fbpx

2 Mac 2021, 1:43 pm

  TERKINI

Perodua D55L dibuka untuk tempahan

Model yang dikatakan sebagai Ativa, merupakan yang tercanggih untuk Perodua setakat ini, bakal dilancarkan pada Rabu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Model baharu Perodua yang dinanti-nantikan, D55L dibuka untuk tempahan bermula Jumaat lalu.

Model yang dikatakan akan dikenali sebagai Ativa itu merupakan yang tercanggih untuk Perodua setakat ini dan datang dengan tiga varian iaitu X, H dan AV dengan tawaran harga tentatif atas jalan sebelum insurans antara RM62,500 hingga RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, model tersebut merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build dan ia “menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua”.

“Selari dengan matlamat kami untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai, Perodua D55L AV merupakan kenderaan autonomi tahap dua yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua.

“Kenderaan utiliti sukan (SUV) kekal popular dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri-ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian,” katanya dalam kenyataan dekat sini.

Model ini akan dilancarkan pada bulan hadapan namun portal automotif, paultan.org baru-baru ini mendedahkan beberapa gambar dan perincian model tersebut.

Risalah tersebut antara lain mendedahkan nama, gambar-gambar komponen luaran secara terperinci dan senarai harga model itu.

Sementara itu, menurut Perodua, antara ciri utama yang ada pada D55L ialah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) terkini yang ada pada semua varian dan mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa dan mampu mengesan kenderaan dua roda.

Turut terdapat pada semua varian ialah Amaran Keluar Lorong (LDW) manakala varian AV datang bersama Kawalan Pengekalan Lorong (LKC), Paparan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC).

Perodua D55L juga merupakan kenderaan turbo pertama Perodua dan model pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9km/l, kecekapan terbaik dalam kelasnya.

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue dengan varian H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red.

Varian AV pula boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam. – UTUSAN