PETALING JAYA: Bank tidak akan mengalami kerugian walaupun memberi moratorium bayaran balik pinjaman automatik kepada peminjam seperti yang dilakukan tahun lalu.
Sehubungan itu, bank diminta untuk berlaku adil kepada peminjam dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata memandangkan pengguna kini berada dalam situasi yang mendesak.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun semua bank komersial ialah berstatus swasta, desakan supaya bank menawarkan moratorium kepada peminjam yang memerlukan boleh dibuat melalui pemegang saham majoriti mereka.
“Kebanyakan bank ini mempunyai pemegang saham majoriti yang terdiri daripada institusi pelaburan kerajaan.
“Desakan boleh dibuat supaya bank meluaskan lagi skop bantuan kepada pengguna dengan memberi moratorium kepada yang betul-betul tertekan dan tidak hanya menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia semalam melaporkan aduan beberapa pengguna yang mengharapkan bantuan moratorium daripada bank, namun hanya ditawarkan R&R yang boleh menyebabkan mereka menanggung tempoh hutang lebih lama dan peningkatan faedah yang mendadak.
Menurut seorang pengguna, ada antara R&R yang ditawarkan menambah tempoh pinjaman sehingga lima tahun dan meningkatkan faedah sehingga kira-kira 20 peratus daripada faedah asal.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, kerajaan harus menawarkan moratorium kepada yang betul-betul terdesak kerana R&R hanya akan memberi kesan buruk kepada kewangan pengguna pada kemudian hari.
“Jika mereka masih lagi tidak mampu membayar pinjaman di bawah R&R, mereka akan berdepan risiko muflis dan ini akan memberi impak negatif yang lebih besar kepada individu, isi rumah dan komuniti pada masa akan datang.
“Keuntungan akan menurun dan akan menjejaskan pulangan dividen kepada pemegang saham majoriti bank seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji tetapi bank akan tetap menunjukkan keuntungan,” katanya.
Bagi memastikan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik, Ahmed Razman menasihatkan pengguna supaya berjumpa dengan pegawai bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya mengelakkan hutang baharu. Alternatif pemilikan kereta tanpa berhutang harus disokong seperti skim sewaan oleh sesetengah syarikat kereta sekarang.
“Ini akan membolehkan rakyat tidak terus terbeban dengan hutang sepanjang hayat mereka,” katanya. – UTUSAN










