Keringat, air mata Siti Rokhiah buahkan hasil - Utusan Malaysia

Keringat, air mata Siti Rokhiah buahkan hasil

SITI Rokhiah Abdullah (kanan) membantu pekerjanya memindahkan rempeyek ke dalam sebuah tong simpanan. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keringat dan air mata adalah teman buat usahawan rempeyek, Siti Rokhiah Abdullah pada awal penglibatannya dalam perniagaan tersebut pada 2016.

Pada peringkat awal, Siti Rokhiah, 52, Kampung Padang Temusu, Mukim Derang, Pokok Sena dekat sini mengetepikan perasaan malu dengan berniaga rempeyek di kampung-kampung dan pasar malam untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

Malah, pada waktu itu, dia pernah menangis dalam perjalanan pulang ke rumah apabila terdapat pelanggan yang mendakwa rempeyek yang dijualnya tidak sedap.

Namun, semangat yang diberikan oleh suami, Noor Azman Ahmad, 57, menjadi pendorong untuk dia cekal menghadapi dugaan tersebut walaupun payah untuk diterima pada permulaannya.

Siti Rokhiah memberitahu, pada mulanya, suaminya mencadangkan dia mengusahakan perniagaan rempeyek untuk membantu menambah pendapatan keluarga memandangkan suaminya itu hanya berniaga ikan di bandar Alor Setar.

“Bermodalkan RM100, saya dan suami kemudian membuat adunan rempeyek hasil resepi sendiri dan selepas digoreng, saya akan menunggang motosikal keliling kampung dan berniaga di pasar malam.

“Pada masa sama, saya dan suami juga menambah baik adunan rempeyek dari semasa ke semasa supaya kudapan yang dihasilkan itu lebih enak dan rangup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pada masa itu, mereka hanya menggunakan satu kilogram tepung gandum untuk membuat kuih tradisional tersebut.

“Selepas siap digoreng di dapur, saya akan menunggang motosikal keliling kampung untuk menjual rempeyek. Walaupun penat tetapi saya semakin seronok menjalankan perniagaan tersebut.

“Alhamdulillah kebiasaannya rempeyek yang dibawa habis jual dan bila balik saya kira duit hasil jualan bersama dengan anak-anak, walaupun tak banyak, ia cukup menggembirakan,” katanya.

Siti Rokhiah berkata, perniagaan Rempeyek Che Yah yang diusahakannya selepas itu semakin maju dan mendapat sambutan hangat.

Beliau berkata, pada masa ini, dia sudah memiliki bengkel sendiri yang mempunyai seramai 30 pekerja.

Tambahnya, antara jenis rempeyek yang dihasilkan ialah original kacang tanah, kacang dal, bilis, kacang hijau, kacang kuda dan kuaci, manakala yang berperisa pula rempeyek telur masin, barbeku dan keju.

“Pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya menghasilkan rempeyek dengan menggunakan kira-kira 300 kilogram tepung gandum sehari bagi memenuhi permintaan pasaran di seluruh negara,” katanya.

Jelasnya, ketika ini dia mempunyai lebih 50 ejen termasuk di Kuala Lumpur, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor,

Malah tambah Siti Rokhiah, tujuh orang anaknya berusia antara 16 hingga 34 tahun membantunya mengusahakan perniagaan rempeyek tersebut.

“Pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah apabila sebelum ini Rempeyek Che Yah mendapat pujian daripada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan Rempeyek CheYah boleh menghubungi Rokhiah di talian 019-4506618 atau 012-4612583. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN