Kereta perisai 4x4 buatan Malaysia bakal tembusi ASEAN - Utusan Malaysia

Kereta perisai 4×4 buatan Malaysia bakal tembusi ASEAN

Mohd. Nizam Kasa (kiri) bersama Pengurus Besar Mildef, Leftenan Kolonel Abdul Razak Hashim menunjukkan kereta perisai buatan Malaysia di Sepang, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies (Mildef) melakar sejarah apabila melancarkan kereta berperisai mobiliti tinggi setanding kualiti antarabangsa.

Kenderaan ketenteraan dirujuk sebagai MILDEF HMAV4x4 itu direka cipta dan dibangunkan sendiri Mildef yang berpangkalan di ibu negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd. Nizam Kasa, jentera itu turut disasarkan untuk kegunaan domestik serta berpotensi dipasarkan lebih luas di luar negara.

“Kami merancang menembusi pasaran rantau ASEAN terlebih dahulu sebelum meninjau peluang bagi kenderaan ini mampu dieksport pula ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis taklimat dan memperkenalkan produk berteknologi canggih itu di Kawasan Perindustrian Cipta Serenia, Sepang, Selangor dekat sini semalam.

Mildef merupakan antara syarikat terulung khidmat servis automotif industri pertahanan di Malaysia serta diiktiraf peneraju bidang penyelenggaraan, pembaikan dan pembaik pulih.

Ditubuhkan pada 2005 sebagai Kembara Suci Sdn. Bhd., Mildef kemudian fokus kepada perniagaan pembinaan kereta berperisai bagi menyokong sektor pertahanan kekal lestari.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, kenderaan pacuan empat roda itu mampu bergerak pantas serta menjalankan misi penting ketenteraan dalam pelbagai bentuk muka bumi.

“Ia boleh cecah kelajuan maksimum 110 kilometer sejam dan sesuai diatur gerak untuk mana-mana misi pengaman di bawah kelolaan pihak Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“MILDEF HMAV4x4 juga dilengkapi Sistem Senjata Kawalan Jauh yang canggih boleh menembak secara 360 darjah semasa bertempur dengan bantuan skrin,” tegas Mohd. Nizam

Apa yang menarik ujarnya, bagi menjayakan projek itu, Mildef dibantu agensi Kementerian Pertahanan iaitu Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan di Kajang, Selangor.

Ia termasuk khidmat nasihat spesifikasi dan kerjasama pengeluaran kenderaan selaras aplikasi piawaian ketenteraan dengan mengambil inspirasi reka bentuk model terbaik dunia.

Projek bermula pada 2016 itu tercetus apabila Mohd. Nizam mendapati pihak tentera terlalu bergantung pembekal antarabangsa dan sering timbul isu kelewatan servis selepas jualan.

“Bagi selesai masalah ini, Malaysia wajar ada kenderaan perisai sendiri dan dengan kapasiti terbaik Mildef, kami berbesar hati lancar dua unit prototaip yang berjaya disiapkan,” katanya.

Mengenai cabaran pengeluaran dalam skala besar, beliau bersedia menunjukkan kepada pemain industri bahawa syarikat Malaysia mampu membangunkan kenderaan sedemikian.

Syarikat itu jelasnya, juga bekerjasama dengan pembekal enjin terulung di pasaran global, Caterpillar bagi memastikan modelnya itu berteknologi tahan lasak dalam segala jenis situasi.

Kereta perisai itu ujarnya, turut dibina berlandaskan konsep pelantar modular paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi spesifikasi mana-mana negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya