BICARA NIAGA
Mukadimah
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 menyebabkan industri perhotelan terjejas teruk hingga ada yang tutup kedai.
Tidak terkecuali merasai impak pandemik itu ialah Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, milik Lembaga Tabung Haji (TH).
Cabaran itu pastinya lebih dirasai oleh Pengurus Besarnya, Wan Enderi Mohd. Saad, yang menggalas jawatan tersebut berkuat kuasa 4 Januari lalu, ketika negara berdepan penularan pandemik.
Dalam pertemuan ringkas dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Wan Enderi yang pernah berkhidmat dengan hotel-hotel antarabangsa di dalam dan luar negara seperti di Koh Samui, Thailand dan Bali, Indonesia, berkongsi inspirasi, harapan, visi dan misi beliau dalam menerajui Movenpick.
“Pada saya, industri pelancongan kena belajar hidup bersama dengan virus ini. Saya tak rasa virus ini akan hilang, saya rasa virus ini akan sentiasa ada.” Ikuti temubual beliau bersama wartawan YULPISMAN ASLI dan jurugambar FAISOL MUSTAFA.
UTUSAN: Tahniah di atas pelantikan Encik Wan, boleh kongsikan visi dan misi dalam menerajui Movenpick?
WAN: Saya punyai visi sebagai seorang ‘tetamu’, saya masuk ke dalam hotel dari depan, ada muzik gamelan bermain di belakang sebagai muzik latar, bukan CD player, tetapi daripada seorang yang bermain gamelan secara live.
Ada banyak aktiviti masa silam yang kita hendak bawa kembali, seperti batu seremban, congkak dan mungkin masa hadapan kita ada sirih pinang dipamerkan untuk orang imbau kembali tradisi asal mereka. Mungkin juga kita buat aktiviti kelas memasak atau demonstrasi di ruang lobi dan chocolate hour untuk tetamu di hotel.
Kita nak tunjukkan kepada orang bahawa kita bukan sekadar hotel tetapi juga tempat di mana orang boleh datang.
Pada masa hadapan, kita berhasrat mewujudkan spa. Kita juga sedang berbincang dengan beberapa pihak sebab kita ada beberapa lagi lot yang masih kosong mungkin kita nak wujudkan kedai gunting atau salon, atau mungkin kelab kanak-kanak di mana ibu bapa boleh datang dan tinggalkan anak mereka untuk terlibat aktiviti sebagai sebahagian pusat komuniti. Selain lapangan terbang, di sini ada Mitsui, lain tidak ada, jadi kita perlu tambah pusat komuniti di mana orang boleh datang, makan, minum boleh hantar laundry, gunting rambut, boleh beli barangan kanak-kanak dan tinggal di hotel.
Sudah tentu ia perlu dirancang dengan teliti. Kita harap dengan adanya vaksin, insyaAllah ia membantu mempercepatkan rancangan kita.
Pelantikan Encik Wan dalam suasana sukar berdepan covid. Macam mana hadapi situasi tersebut untuk membawa perubahan kepada Movenpick?
Sekarang ini situasi memang susah, kebanyakan hotel yang saya tahu memang ramai pekerja kena buang. Bagi saya, alhamdulillah dapat meneruskan karier. Buat masa sekarang, selain perancangan yang saya sebut tadi, kita cuba minimumkan sebanyak mungkin kos dan operasi untuk sustain. Macam elektrik, sumber manusia, kita perlu guna sumber-sumber tersebut sebaiknya.
Selepas mengharungi tempoh mencabar 2020, ramai meletak harapan tahun ini untuk bangkit semula. Tapi sebaliknya berlaku (PKP dilaksanakan semula), jadi macam mana Movenpick berdepan situasi itu?
Ini bukan Movenpick sahaja, tetapi semua hotel dalam industri hadapi benda yang sama.
Kita kena sabar, tunggu dan lihat keadaan macam mana.
Pada masa sama kita masih berusaha, contohnya, kita keluarkan pakej penghantaran makanan seperti kari kepala ikan, kambing panggang. Orang boleh tempah dan kita boleh hantar ke rumah. Aktiviti macam itu masih berjalan, kita masih aktif dari segi itu. Benda ini tidak bagi pulangan besar untuk kita maintain property tetapi kita cubalah.
Sejauh mana Movenpick terkesan sepanjang 2020 akibat Covid-19?
Saya tidak ada di sini pada 2020, tetapi dari segi pendapatan saya rasa lebih daripada 50 peratus terjejas, berbanding 2019. Kalau pengalaman sendiri, saya di Thailand 2020. Di Koh Samui, bisnes memang 100 peratus bergantung pelancong asing. Bila semua negara tutup sempadan terutama Eropah yang merupakan penyumbang terbesar sektor pelancongan Thailand, kita tidak ada penginapan langsung. Saya tengok masa itu di Thailand, boleh dikatakan kadar penginapan sifar. Masa di sana, saya tengok Malaysia masih bagus, Malaysia ada 20 hingga 30 peratus kadar penginapan terutama resort di Cherating, Langkawi, tetapi di Phuket dan Koh Samui impaknya memang terlalu hebat.
Berdasarkan pengalaman Encik Wan di luar negara, apa ruang-ruang yang kita boleh perbaiki, mungkin Movenpick boleh jadi pelopor pembaharuan?
Prinsip saya mudah, orang datang ke rumah kita. Saudara-mara datang rumah, sebelum mereka minta apa-apa kita sudah sediakan. Kita nampak muka mereka tidak selesa kita dah bertanya nak apa lagi. Itu hospitaliti kita di rumah bila raikan kedatangan saudara-mara. Kenapa bila dekat sini (hotel) orang nak bayar, kita tak boleh nak buat ?
Jadi, asasnya bukan Thailand atau Indonesia lebih baik daripada kita. Saya tidak lihat begitu, sebaliknya dari segi mindset orang kita kena tengok. Contoh, jika kita temu bual orang kita tengok dia punyai sikap. Macam mana nak buat kerja, rasanya semua orang boleh buat bila dilatih, tetapi sikap, sama ada anda punyai sikap yang betul untuk industri atau tidak, itu yang penting.
Saya ingin melihat orang itu punyai sikap untuk serve others. Di Indonesia contohnya, kalau tetamu duduk di lobi hotel, dia belum lagi angkat tangan untuk tanya servis atau bantuan, ada orang yang sudah bertanya Can I help you?. Itu bezanya antara satu negara dengan negara lain.

Movenpick milik TH dan orang anggap ia hotel untuk orang Islam sahaja, bagaimana nak tarik orang bukan Islam agar misi dan visi digariskan dapat dicapai?
Ketengahkan elemen-elemen tradisional seperti saya kata tadi. Kedua, kita nak dekat dengan komuniti, kita nak jadi komuniti provider. Contoh, macam saya cakap tadi, kita akan ada laundry, gunting rambut bukan hanya untuk tetamu tetapi juga untuk orang luar. Kita ada kedai, orang luar boleh datang dan guna kemudahan itu. Itu bukan hanya untuk orang Islam tetapi untuk semua.
Sepanjang tempoh Covid-19, apa yang dilakukan untuk terus survive?
Macam saya cakap, semua aktiviti penghantaran makanan kita buat, dan lain-lain servis yang kita boleh tawarkan. Kita bernasib baik apabila kira-kira 10 peratus daripada penginapan untuk jangka masa panjang datang daripada syarikat-syarikat kargo, penerbangan. Itu membantu kami. Selain itu, tawaran pakej-pakej menarik di online diteruskan.
Sebelum Covid berapa kadar penginapan di Movenpick?
Pada 2019, purata kadar penginapan antara 50 hingga 60 peratus. Pada 2020 tutup. Dan 2021 diunjurkan dalam 40 peratus, bergantung kepada keadaan. Pada masa sama, tak ada pemberhentian dan pengurangan kakitangan secara terpaksa, bila berenti, tidak ada ganti, itu sahaja.
Harapan terhadap industri?
Pada saya, industri pelancongan kena belajar hidup bersama dengan virus ini. Saya tak rasa virus ini akan hilang, saya rasa virus ini akan sentiasa ada.
Industri pelancongan perlu belajar untuk hidup bersama virus bagaimana industri hidup dengan terrorism. Dalam tahun 70-an, 80-an kita naik kapal terbang tak perlu buka tali pinggang, kasut, tak perlu lalui alat pengesan keluli. Namun, disebabkan keganasan kita lalui semua itu, semua aspek keselamatan dilaksanakan, kita terima dan kita tahu bila nak pergi ke luar kena buka tali pinggang, cincin, dan sebagainya. Kita hidup dengan keadaan itu, mungkin asas yang sama dengan virus ini. Kalau kita kena pakai pelitup muka, sarung tangan, itu sebahagian daripada tindakan yang perlu kita buat untuk hidup bersama virus ini. Kalau kita lari dan sembunyi sampai bila?
Kita boleh nak tutup negara dan turunkan jangkitan, tapi sampai bila? Vaksinasi dalam perjalanan, alhamdulillah. Tetapi, vakninasi bukan penyelesaian, ia hanya membantu, dan kita masih kena jaga, amalkan SOP walaupun pada masa hadapan, kita tak boleh lalai. – UTUSAN










