fbpx

6 Mac 2021, 1:06 pm

  TERKINI

Hong Leong tawar pembiayaan RE

Domenic Fuda (kiri) dan Yow Kuan Tuck pada majlis pelancaran secara maya tawaran pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank menawarkan pembia­yaan sehingga RM1 juta bagi setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memudahkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan operasi dan penggunaan karbon.

Kemudahan pembiayaan tenaga hijau untuk memasang sistem fotovoltaik solar (PV) skala kecil itu menerusi tempoh pinjaman maksimum tujuh tahun dengan kadar faedah yang menarik.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Domenic Fuda berkata, banyak perniagaan terutama PKS melalui fasa transformasi untuk terus beroperasi dengan kecekapan kos lebih besar dalam tempoh mencabar ini.

“Satu cara termudah adalah mengurangkan kos bil elektrik dengan menggunakan teknologi boleh diperbaharui PV solar.

“Program pembiayaan solar ini bukan sahaja dapat membantu pelanggan kami dalam mengurangkan perbelanjaan operasi dan jejak karbon mereka dalam jangka panjang, tetapi juga menyumbang ke arah membina ekosistem seterusnya menyokong inisiatif nasional untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sehingga 20 pe­ratus menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah program itu, bank menggunakan tujuh penyedia perkhidmatan tempatan terkemuka iaitu Plus Solar Systems Sdn. Bhd., Solarvest Holdings Bhd., Mattan Engineering Sdn. Bhd., Samaiden Sdn. Bhd., ERS Energy Sdn. Bhd., Pekat Solar Sdn. Bhd. dan Gading Kencana Sdn. Bhd. yang akan menyediakan perkhidmatan pemasangan, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan PV solar sehenti yang komprehensif kepada pelanggan PKS Hong Leong.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan dan Korporatnya, Yow Kuan Tuck berkata, peruntukan awal sebanyak RM300 juta untuk kemudahan pembiayaan solar baharu akan mendorong lebih banyak perniagaan melihat kepentingan pelaburan ini yang membawa kelebihan daya saing jangka panjang dan bukannya mengurangkan kos perniagaan sahaja.

“Pengenalan ‘HLB SME Solar Financing’ tepat pada masanya kerana cabaran ekonomi yang berterusan yang disebabkan oleh COVID-19 te­lah membuat PKS mengambil langkah untuk memulihkan dan membina semula perniagaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN