Ekonomi dijangka lebih baik - Utusan Malaysia

Ekonomi dijangka lebih baik

Sebagai negara berpenduduk sederhana, syarikat-syarikat Malaysia memerlukan pasaran yang lebih luas untuk berkembang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengambil kira prestasi IP, program vaksinisasi

PETALING JAYA: Prospek ekonomi negara dijangka lebih baik pada bulan-bulan ke hadapan mengambil kira prestasi Indeks Pelopor (IP) dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, IP mencatatkan 108.8 mata pada Disember tahun lalu berbanding 101.6 mata bulan sama tahun sebelumnya dan pertumbuhan tahunannya kekal pada 7.1 peratus sejak November lalu.

Kata beliau, pengembangan IP didorong terutamanya oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, Indeks Penjagaan Kesihatan, Indeks Pengangkutan dan Logistik sebagai penyumbang.

“Sebaliknya, IP menunjukkan negatif 0.3 peratus dari segi perubahan peratusan bulanan. Prestasi yang lebih perlahan dipengaruhi oleh penurunan yang signifikan dalam Penawaran Wang Benar, M1 pada negatif satu peratus pada bulan yang dikaji.

“Kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin me­ningkat dengan pelaksanaan sekatan pergerakan yang berpanjangan.

“Untuk mengurangkan kesannya, kerajaan memberikan respons secara proaktif melalui pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) untuk memperkuat inisiatif semasa sedia ada,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Sementara itu, menurut Mohd. Uzir, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa, tumbuh 1.2 peratus untuk mencapai 113.7 mata pada Disember tahun lalu daripada 112.4 mata pada bulan sebelumnya.

Menurut beliau, semua komponen IS menyumbang secara positif terutamanya oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian pada 0.4 peratus.

“Tahun ke tahun, IS me­nunjukkan trend yang lebih baik dengan mencatatkan negatif 1.4 peratus pada bulan rujukan daripada 2.3 peratus pada November 2020.

“Indeks Difusi bagi IP merekodkan 71.4 peratus pada Di­sember 2020. Pada masa yang sama, Indeks Difusi bagi IS kekal pada 100 peratus semenjak Oktober 2020 menunjukkan semua komponen IS meningkat berbanding enam bulan yang lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya