PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) telah melancarkan Cabaran AEIOU Musim Ke-6 bagi memupuk tabiat menyimpan wang di
kalangan kanak-kanak dengan lebih selamat, bijak dan canggih menerusi bahan pendidikan kewangan secara digital.
Tema Cabaran AEIOU tahun ini ialah “Sediakan Payung Sebelum Hujan: Persiapan Menghadapi Krisis” bagi membantu kanak-kanak meneroka pelbagai cara untuk memulakan dan meneruskan
tabiat menyimpan wang mereka. Menjadi celik kewangan adalah kemahiran hidup yang penting untuk membolehkan individu menghadapi cabaran yang sukar seperti pandemik.
Alliance Bank dalam satu kenyataan memberitahu, inisiatif celik kewangan tahunan yang telah memenangi anugerah ini merangkumi tiga komponen: pendidikan celik kewangan, Cabaran Komik dan Cabaran e-Permainan untuk mendidik murid-murid sekolah berumur antara 9 hingga 12 tahun tentang kepentingan menyimpan wang, membuat keputusan kewangan yang pintar dan berjimat semasa berbelanja.
Memandangkan pandemik Covid-19 yang masih berterusan, pihak Bank akan menjalankan keseluruhan program AEIOU secara digital bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan murid-
murid sekolah, para guru dan juga ibu bapa. Semua bahan pembelajaran AEIOU akan disediakan dalam format digital dan pihak Bank akan menjalankan aktiviti pembelajaran celik
kewangan secara maya bagi memastikan capaian AEIOU masih dapat diteruskan walaupun semasa pandemik.

Sesi dalam talian yang disampaikan oleh para pendidik terlatih membantu menanam nilai positif tentang wang dalam kalangan kanak-kanak. Ini membolehkan mereka membezakan antara
keperluan dan kemahuan, menyimpan, merancang dan perbelanjaan yang bijak. Mereka juga boleh mempelajari lebih lanjut tentang amalan kewangan yang pintar dengan menonton video
pendidikan atau membaca siri komik di www.alliancebank.com.my/aeiou.
Bagi menguji pengetahuan mereka tentang amalan wang yang bijak, murid-murid boleh menyertai sama ada Cabaran Komik dengan menghantar hasil seni lukisan komik kreatif atau
menyertai Cabaran e-Permainan. Alliance Bank berhasrat untuk meningkatkan jumlah penyertaan yang diterima pada tahun ini kepada 50,000. Angka ini merupakan peningkatan
melebihi 50 peratus berbanding penyertaan musim yang lalu.
Hadiah dan wang tunai bernilai melebihi RM16,000 menanti para pemenang Cabaran AEIOU. Sekolah dengan bilangan peserta paling ramai turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai
sebanyak RM3,000 untuk dana pembangunan sekolah mereka. Guru-guru cemerlang yang menggalakkan program ini di sekolah masing-masing akan diberi ganjaran bernilai sehingga
RM6,000.
“Alliance Bank merupakan penyokong celik kewangan dalam kalangan kanak-kanak sejak lebih satu dekad. Kami sentiasa teguh dalam komitmen kami untuk mengajar kemahiran hidup yang
penting ini terutamanya semasa pandemik. Kami percaya inisiatif ini dapat membentuk tingkah laku sepanjang hayat yang positif.
“Cabaran AEIOU tahun ini bermatlamat untuk menghasilkan impak yang lebih ketara terhadap murid-murid sekolah. Kami akan menggandakan capaian kami sehingga 1,000 buah sekolah
berbanding 415 buah sekolah pada musim lalu.
“Kami memperluaskan aktiviti pembelajaran ke sekolah dan menganjurkan sesi melatih jurulatih yang komprehensif selama separuh hari untuk
guru-guru di seluruh negara. Bagi mencapai tujuan ini, semua bahan dan alat pembelajaran adalah dalam bentuk digital dan disediakan secara dalam talian.
“Dengan berbuat demikian, kami percaya lebih ramai kanak-kanak akan dapat mengakses kurikulum tidak kira di mana mereka berada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Alliance Bank, Joel Kornreich.
Katanya, Alliance Bank juga berharap dapat mendorong lebih ramai kanak-kanak untuk mula menabung melalui kerjasama dengan SmartStudy dari Korea dengan membawa masuk karakter kegemaran kanak-kanak, Pinkfong, ke Malaysia.
Peserta Cabaran AEIOU akan menerima Bekas Makanan Pinkfong edisi terhad apabila mereka membuka akaun Junior seperti akaun Alliance Buddy TM
atau Alliance Junior Smart Saver-I dengan hanya RM50. Mereka perlu menunjukkan sijil e-Permainan AEIOU mereka di cawangan Alliance Bank untuk menuntut hadiah ini.
Cabaran AEIOU yang dilancarkan pada tahun 2015 telah mencapai hampir 700,000 orang kanak-kanak di seluruh negara. Sehingga kini, pihak Bank telah menganjurkan hampir 800 aktiviti
pembelajaran secara fizikal termasuk taklimat di sekolah dan melatih lebih 620 guru di beberapa buah negeri untuk membolehkan mereka mengajar bengkel celik kewangan di sekolah masing-
masing. Cabaran Komik dan Cabaran e-Permainan secara kolektif telah menerima lebih 67,000 penyertaan.
Cabaran AEIOU Alliance Bank menyokong aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat yang bijak kewangan dengan meningkatkan pengetahuan pengurusan wang yang pintar dalam
kalangan warga Malaysia. Menjadi celik kewangan adalah sangat penting terutamanya dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan ekonomi moden. Ini memberi peluang kepada individu
untuk membina matlamat kewangan jangka panjang bagi meningkatkan kualiti hidup serta memenuhi aspirasi peribadi mereka.
Faber-Castell, pengeluar produk untuk menulis, melukis, mewarna dan rekabentuk kreatif berkualiti tinggi yang terkemuka di dunia telah menjadi rakan strategik Cabaran AEIOU sejak dari
mula lagi. Alliance Bank dan Faber-Castell telah berganding bahu membantu mengasah potensi kreatif kanak-kanak Malaysia dalam melukis komik kewangan mereka. Rakan terbaharu program
ini, Limkokwing University of Creative Technology, merupakan sebuah universiti antarabangsa yang terkemuka dan telah lama ditubuhkan dengan kampus meliputi 10 buah negara bagi
membolehkan pemindahan teknologi dalam pendidikan kreatif dan inovatif.
Cabaran AEIOU turut mendapat sokongan padu dari Bank Negara Malaysia (BNM). Inisiatif ini adalah gabungan bersama Rangkaian Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)
BNM dan merupakan sebahagian daripada Minggu Kewangan Global OECD yang akan berlangsung dari 22 sehingga 28 Mac 2021.
Kempen kesedaran peringkat global ini bertujuan mendidik anak-anak muda untuk medapat kesedaran, pengetahuan dan kemahiran tentang kewangan bagi mencapai kesejahteraan dan daya tahan kewangan yang baik dalam kehidupan.
Cabaran AEIOU telah menerima dua anugerah serantau untuk Program Celik Kewangan Terbaik bagi Sekolah Rendah pada tahun 2017 oleh BNM. Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah
menyokong program ini sejak dari awal, terus memberi sokongan kepada program pada tahun ini.
Program ini merupakan contoh perkongsian awam swasta yang berjaya bagi menggerakkan inisiatif yang menyumbang positif kepada masyarakat.
Tarikh tutup penghantaran Cabaran Komik dan Cabaran e-Permainan adalah pada 2 Julai 2021. Alliance Bank menjemput semua murid-murid sekolah di seluruh negara yang berumur antara 9
hingga 12 tahun untuk menyertai Cabaran AEIOU.
Layari www.alliancebank.com.my/aeiou untuk maklumat lanjut.











