PETALING JAYA: Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan fiskal bagi meringankan beban ditanggung rakyat, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua ternyata memberi kesan terhadap kelangsungan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, kira-kira 10,000 PKS berada di ambang muflis melibatkan kerugian bernilai RM3 bilion akibat ketidaktentuan persekitaran perniagaan yang berlaku ketika ini.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong yang turut memberitahu kesemua PKS itu mungkin akan menutup operasi perniagaan menjelang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Michael berkata, antara sektor terlibat termasuk peruncitan, makanan dan minuman (F&B), perkilangan serta sektor yang paling banyak terkesan iaitu pelancongan.
Beliau berkata, ketiadaan moratorium bagi pembiayaan pinjaman juga menyukarkan PKS untuk kembali ‘bernafas’ selepas mengharungi saat mencabar tahun lalu.
“Pelaksanaan PKP kali ini lagi memberi masalah kepada PKS kerana semasa PKP tahun lalu, banyak PKS telah menggunakan simpanan mereka untuk menampung kerugian tetapi kini mereka tiada simpanan lagi.
“Banyak ahli kami yang dahulunya ada 20 hingga 30 orang pekerja, kini tinggal dua ke tiga orang sahaja dan ada juga yang mahu ‘berehat’ enam bulan sementara keadaan kembali stabil.
“Keadaan amat sukar untuk PKS apatah lagi tiada kepastian bila keadaan akan kembali baik seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas mengenai peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), Jumaat lalu untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), Michael memberitahu bantuan tersebut sudah tentu dapat membantu meringankan beban ditanggung PKS.
Walau bagaimanapun, Michael meminta BNM dan kerajaan supaya memantau penyaluran bantuan tersebut kerana PKS didakwa sukar membuat permohonan.
“Kebanyakan bank meletakkan terlalu banyak syarat dan hal ini menyukarkan PKS membuat permohonan sekali gus proses itu mengambil masa yang sangat lama.
“Institusi perbankan seharusnya memudahkan dan menyegerakan proses kerana kami amat terhimpit dengan situasi sekarang.
“Kami juga akan menghantar memorandum kepada kerajaan dalam masa terdekat supaya mengambil berat tentang masalah kami dengan isi penting memorandum itu adalah tentang pelaksanaan moratorium kepada PKS,” jelas beliau.
BNM mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion untuk TRRF bagi membantu PKS di samping turut mengumumkan penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membantu PKS yang terjejas akibat banjir.
Menurut BNM, tambahan tersebut akan meningkatkan jumlah peruntukan untuk TRRF kepada RM4 bilion. – UTUSAN










