KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dicadangkan memberi keutamaan kepada sektor-sektor produktif seperti kesihatan, pendidikan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekiranya ingin membuat penambahbaikan bersesuaian kepada langkah-langkah Belanjawan 2021.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, sektor-sektor berkenaan akan memberi pulangan dalam jangka masa panjang.
Sehubungan itu katanya, mana-mana perbelanjaan yang tidak produktif wajar dihapuskan kerana ia bertindan.
“Kementerian Kewangan harus berkumpul dan bincangkan semula ke mana (peruntukan dalam) Belanjawan 2021 itu disalurkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Khamis lalu yang berkata kementeriannya sedang mengkaji dan membincangkan penambahbaikan bersesuaian kepada langkah-langkah Belanjawan 2021 bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.
Tengku Zafrul berkata, kementeriannya sentiasa mendengar dan bersedia menambah baik inisiatif apabila dirasakan perlu selaras dengan pelaksanaan jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula mencadangkan supaya moratorium dan program i-Sinar diperluas berdasarkan permintaan tanpa sebarang syarat.
Beliau berkata, pengecualian cukai kenderaan yang berakhir Jun ini juga patut diteruskan hingga akhir tahun.
“PKP 2.0 yang sedang berlangsung sehingga 26 Januari ini dijangka akan menurunkan 0.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
“Golongan yang bekerja sendiri dan bergantung kepada gaji harian adalah antara yang tertekan. Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) masih memerlukan bantuan walaupun Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sedang dilaksanakan,” jelasnya. – UTUSAN










