KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan kepada ramai pihak, terutamanya buat mereka berkecimpung dalam bidang muzik yang kehilangan pendapatan kerana tiada persembahan dapat dijayakan.
Menghampiri setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu, sesiapa yang tidak berbuat apa-apa untuk mencari ruang pendapatan pasti mengalami kesulitan untuk meneruskan hidup.
Menyedari hal tersebut, tiga anak muda yang sebelum ini menyara kehidupan sebagai pemuzik mengerah idea untuk memulakan perniagaan bagi menampung keperluan kehidupan.
Muhammad Khairul Ridzuan Abdullah, 32; Mohd. Fayyadh Helmi Abd. Hamid, 30 dan Muhammad Zainuri Shaharin Shairzaman, 27, akhirnya bertemu jawapannya pada menu ringkas yang sangat sinonim dengan hidangan masyarakat Melayu, iaitu sambal bilis.
Memulakan perniagaan kira-kira lima bulan lalu, kini tiga anak muda itu boleh berbangga dengan produk berjenama sendiri, iaitu Sambal Bilis Rockstar.
“Semasa PKP memang kami semua putus sumber rezeki kerana tiada persembahan. Kami fikir, Fayyadh memang ada kebolehan memasak dan kami berdua boleh fokus kepada pengurusan. Jadi, kami tekad untuk mula berniaga.
“Kami semua pula memang pemuzik rock jadi nama itu memang sesuai untuk kami mulakan jenama ini: Sambal Bilis Rockstar,” kata Khairul Ridzuan kepada Utusan Malaysia.
Sambal Bilis Rockstar dihasilkan dengan resipi keluarga Mohd. Fayyadh di Melaka. Menurut Khairul Ridzuan, mereka mengambil masa hampir dua bulan untuk membuat penyelidikan dari segi tekstur rasa sambal, kaedah penyediaan dan pemasaran yang sesuai.
“Pada permulaan itu memang kami labur duit untuk bereksperimen. Kami cuba masak dan beri kepada mereka yang berpengalaman untuk komen.
“Kami nak pastikan apabila orang makan, mereka rasa seperti masakan ibu. Yang lebih penting lagi, kami perlu pastikan Fayyadh mampu masak banyak dengan rasa yang masih sama ,” katanya.
Pengaruh dan rangkaian mereka dalam bidang muzik juga akan digunakan untuk memperluas perniagaan mereka kelak.
“Alang-alang kami sendiri semua pemuzik, jadi kami nak bawa sekali strategi muzik itu dalam perniagaan. Mungkin suatu hari nanti apabila dapat tawaran bermain muzik di luar negara, kami akan bawa juga produk ini untuk dipromosikan di sana,” katanya.
Menurutnya, mereka melihat potensi pada jenama itu kerana belum ada yang menggunakan identiti sebagai pemuzik atau rockstar dalam jenama masakan.
“Itu antara kelebihannya selain daripada rasa yang kami yakin memang sedap.
“Perniagaan ini juga adalah rancangan jangka panjang. Walaupun selepas ini apabila pandemik reda, kami akan meneruskan kerjaya dalam bidang muzik, perniagaan ini akan tetap berjalan.
“Kami juga sudah bentuk satu sistem kerja dan pelan perniagaan yang boleh diguna pakai dalam jangka masa yang panjang. Setakat ini kami belum nampak akan berhenti,” katanya. – UTUSAN










