Pharmaniaga dapat hak botolkan 14 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac - Utusan Malaysia

Pharmaniaga dapat hak botolkan 14 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac

ISMAIL Sabri Yaakob (lima dari kiri) bersama Adham Baba (tiga dari kiri) dan Khairy Jamaluddin (tiga kanan) bergambar pada majlis menandatangani perjanjian bekalan vaksin Covid-19 Pharmaniaga dengan Sinovac di Kuala Lumpur, semalam. -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. (PLS), anak syarikat penuh milik Pharmaniaga Berhad telah menandatangani perjanjian dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, Sinovac Life Sciences Co. Ltd. (Sinovac) bagi membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin Covid-19.

Melalui perjanjian yang ditandatangani semalam itu, PLS akan membotolkan vaksin itu di negara ini yang akan menjadikan kosnya lebih murah.

Vaksin tersebut yang dibangunkan Sinovac telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di Brazil dan Turki.

Semua 14 juta dos vaksin itu dijangka diterima oleh rakyat Malaysia pada penghujung Mac.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md. Eusope berkata, PLS akan menggunakan kilang suntikan volum kecil (SVI) berteknologi tingginya di Puchong untuk menjalankan proses pembotolan vaksin tersebut.

Untuk kilang tersebut, beliau berkata, Pharmaniaga melaburkan tidak lebih daripada RM3 juta dan ia dijangka membotolkan dua juta dos vaksin sebulan.

“PLS telah diakui oleh kerajaan sebagai salah satu syarikat tempatan yang berpotensi untuk melaksanakan proses fill and finish vaksin setelah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi taklimat kepada Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Sains Nasional pada Julai tahun lalu.

“PLS adalah kilang berteknologi tinggi dan hanya dengan sedikit pelaburan tambahan, kami telah menyediakan kilang itu dengan fasiliti untuk melakukan proses fill and finish vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Sinovac yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Khairy; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, kilang PLS akan memproses vaksin tidak aktif (atau vaksin yang telah dimatikan) yang terdiri daripada zarah-zarah virus yang dibangunkan dalam kultur dan telah hilang keupayaan menghasilkan penyakit.

Tambah beliau lagi, perjanjian pembekalan vaksin Covid-19 semalam adalah sesuatu yang sangat bersejarah dan akan memberikan pulangan yang besar bukan sahaja untuk Pharmaniaga, malah kepada rakyat Malaysia.

“Ketika ini, Malaysia masih belum mempunyai teknologi dan tenaga kepakaran untuk membangunkan sendiri vaksin.

“Oleh itu, ini adalah peristiwa bersejarah untuk negara kerana melalui kerjasama ini, pasukan tenaga profesional tempatan akan dilatih dalam teknologi vaksin serta bakal memperolehi pengalaman berharga bekerja dengan saintis terkemuka Sinovac supaya Malaysia mempunyai tenaga pakarnya sendiri dalam bidang formulasi vaksin dalam masa terdekat,” katanya.

Pharmaniaga kini dalam proses perbincangan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mendaftarkan vaksin Sinovac sebelum ia mula dibotolkan di PLS pada Februari seterusnya diedarkan pada akhir Mac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.