KUALA LUMPUR: Walaupun tindakan kerajaan melancarkan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dianggap mempunyai niat baik tetapi ia disifatkan masih tidak mencukupi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.
Ahli Ekonomi Kanan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah malah meluahkan kekecewaan kerana lebih banyak bantuan perlu diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Menurut Adli, kebanyakan polisi atau inisiatif yang diumumkan di bawah Permai juga telah pun dibentangkan dalam Belanjawan 2021 sekali gus tidak menunjukkan perbezaan yang begitu ketara.
“Secara jujurnya, impak yang akan dihasilkan oleh Permai kali ini adalah minimum kerana walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pakej tersebut bernilai RM15 bilion, namun suntikan sebenar fiskal yang datang daripada kerajaan itu sendiri sebenarnya lebih rendah dari nilai tersebut.
“Mengikut kiraan kasar saya, suntikan sebenar fiskal yang baharu dalam Permai ini hanyalah lebih kurang RM4 bilion. Selebihnya itu hanyalah inisiatif yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan secara terus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas pelaksanaan Permai yang diumumkan Muhyiddin untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepat pelaksanaan inisiatif berkaitan.
Sebanyak 22 inisiatif di bawah Permai berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Mengulas lanjut, Adli turut berpendapat kerajaan masih lagi mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan perbelanjaan kerana hutang negara masih berada di bawah paras 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pada tahun 2019, 78 peratus daripadanya adalah hutang dalam negara.
Beliau menjelaskan ia sekali gus menunjukkan kerajaan tidak mempunyai masalah meningkatkan perbelanjaan melalui peningkatan hutang domestik.
Peratusan bayaran khidmat hutang, jelas Adli yang berada di bawah paras 20 peratus daripada jumlah pendapatan kerajaan juga membuktikan kerajaan mempunyai kemampuan membayar semula hutang.
“Hal ini menunjukkan kerajaan masih mempunyai ruang meningkatkan perbelanjaan untuk membantu golongan B40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat krisis ini dengan melakukan pinjaman domestik dan pada masa sama masih mampu membayar balik semula hutang-hutang negara,” katanya. – UTUSAN










