Pensijilan MSPO pekebun kecil tersusun capai 100% - Utusan Malaysia

Pensijilan MSPO pekebun kecil tersusun capai 100%

Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) giat mempromosikan pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit mampan yang dihasilkan Malaysia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil tersusun telah berjaya mencapai sasaran penuh pada penghujung tahun lalu.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pensijilan yang dilaksanakan lembaga itu bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri melibatkan penyertaan 233,191 pekebun kecil dengan keluasan kawasan tanaman sawit sebesar 724,633.32 hektar.

Katanya, ia merangkumi lapan agensi iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan keluasan 472,023.91 hektar seramai 100,060 orang; Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sebanyak 138,816.32 hektar berjumlah 89,440 orang dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan keluasan 25,973.89 hektar dengan seramai 14,389 orang.

MPOB memberitahu, selain agensi persekutuan, pekebun kecil turut berada di bawah pengurusan agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) melibatkan 19,384 orang seluas 51,641 hektar dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melibatkan 2,766 orang (16,934.39 hektar).

“Tiga agensi lagi adalah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dengan 16,651.71 hektar membabitkan 5,895 orang; Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPK) melibatkan 1,635.82 hektar dengan penyertaan 904 orang dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak sebanyak 957 hektar melibatkan 353 orang.

“Selain pencapaian 100 peratus pekebun kecil tersusun, pencapaian sektor ladang dan kilang kelapa sawit juga hampir mencapai sasaran sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga 31 Disember 2020, seluas 5.20 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO.

Sejumlah 434 kilang kelapa sawit atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah memperoleh sijil MSPO.

Bagi pekebun kecil persendirian, seluas 311,739.51 hektar atau 31.61 peratus kawasan tanaman sawit telah dipersijilkan MSPO melibatkan 94,328 orang.

Mengulas lanjut, MPOB berkata, pihaknya bersama-sama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) giat mempromosikan pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit mampan yang dihasilkan Malaysia.

Katanya, MPOB memberi tumpuan bagi pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kebun sawit di seluruh negara melalui penyertaan Kelompok Pensijilan Minyak Sawit Mampan (SPOC).

“Kerajaan telah melanjutkan tempoh pelaksanaan pensijilan MSPO bagi pekebun kecil yang berakhir pada 31 Disember 2020. Pekebun kecil yang masih belum melaksanakan pensijilan MSPO akan menerima surat peringatan yang akan dikeluarkan oleh MPOB bermula 1 Januari 2021.

“Bermula 1 Julai 2021, MPOB akan memulakan tindakan kompaun dan mulai 1 Januari 2022, pekebun kecil yang masih gagal mendaftar atau memulakan proses pensijilan MSPO akan berdepan tindakan pembatalan, gantung lesen atau lesen tidak diperbaharui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya