MAHB belanja capex RM400 juta - Utusan Malaysia

MAHB belanja capex RM400 juta

Penjualan sebahagian daripada usaha MAHB Group untuk menyelaraskan portfolio pelaburan luar negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjangka akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex)sebanyak RM400 juta untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, jumlah tersebut akan disemak semula dari masa ke masa dan diubah suai mengikut kesesuaian situasi.

“Adalah penting bagi kami terus ke hadapan dengan projek-projek kritikal agar tiada kompromi terhadap tahap perkhidmatan dan lapangan terbang kami sentiasa bersedia apabila keadaan kembali pulih.

“Kebanyakan projek tersebut berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lapangan terbang utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Ramah Media bersama MAHB: Navigating Unprecedented Crisis and Way Forward (2021-2025) yang diadakan secara maya semalam.

Menurut Mohd. Shukrie, antara projek kritikal yang diberi keutamaan tahun ini ialah penambahbaikan sistem pengendali bagasi (BHS), penggantian aerotren, teknologi pengecaman wajah, pelaksanaan pembuatan keputusan kolaboratif lapangan terbang (A-CDM) dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan teknologi kecerdasan buatan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini MAHB tidak bercadang menerbitkan apa-apa sukuk bagi membiayai pembangunan lapangan terbang tempatan.

Dalam sesi tersebut, Mohd. Shukrie turut menekankan keutamaan MAHB bagi menghadapi cabaran tahun ini adalah untuk terus berupaya meneruskan operasi dan mampu pulih secara mandiri tanpa membebankan kerajaan.

Beliau berkata, aset MAHB di luar negara terutamanya di Turki akan dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan prospek pemulihannya lebih meyakinkan berbanding di Malaysia ketika ini.

“Aspirasinya adalah untuk memastikan kami syarikat yang berdaya maju secara kewangan dan masih mempunyai sumber kewangan yang cukup bagi memastikan operasi tidak terjejas.

“Dalam masa sama, tidak bermakna kami tidak bantu semua rakan kongsi. Formula baharu yang dilaksanakan sekarang termasuk pengurangan bayaran atau rebat untuk rakan-rakan kongsi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, bantuan yang diberikan kepada rakan-rakan kongsi seperti kadar bayaran sewa mengikut jumlah trafik akan diteruskan seperti dalam kontrak yang telah ditandatangani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya