Keyakinan, kepercayaan pendeposit Tabung Haji semakin pulih
KUALA LUMPUR: Pemulihan keyakinan dan kepercayaan pendeposit terhadap pentadbiran Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai antara faktor penyumbang kepada peningkatan sehingga RM7 bilion deposit institusi tersebut tahun lalu.
Jumlah deposit TH meningkat kepada RM75.9 bilion pada penghujung Disember 2020 berbanding RM69 bilion yang dicatatkan pada 2019.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff memberitahu, sebagai institusi yang diamanahkan menjaga simpanan umat Islam, TH sentiasa merancang untuk memastikan simpanan kewangan kekal stabil.
Beliau berkata, penumpuan kepada penambahbaikan operasi terutama melibatkan perkhidmatan dalam talian juga antara sebab utama peningkatan deposit walaupun negara terpaksa berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Apa yang penting keyakinan dan kepercayaan pendeposit kepada TH sudah kembali kepada asal walaupun dalam keadaan mencabar tahun lalu.
“Kita juga lihat umat Islam dalam negara masih serius nak menjaga agama dan mengerjakan haji sekali gus membuatkan jumlah deposit meningkat,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Nik Mohd. Hasyudeen berkata, TH mempunyai strategi jelas bagi memastikan memperoleh pendapatan lebih stabil.
“Kita mahu memberi tumpuan kepada pentadbiran dana yang tersusun kerana institusi ini dimiliki lebih kurang sembilan juta pendeposit.
“Dari segi pendapatan mungkin tidak setinggi dahulu tetapi kami mahu kekal stabil,” jelas beliau.
Mengenai cabang pelaburan baharu TH, Nik Mohd. Hasyudeen tidak menolak kemungkinan membuat pelaburan baharu, tetapi bergantung kepada kedudukan risiko yang sesuai dengan matlamat institusi berkenaan.
Katanya, sebanyak 90 peratus pelaburan TH buat masa ini berada di Malaysia dengan baki pelaburan luar negara adalah menerusi pajakan hotel di Mekah dan juga hartanah di United Kingdom.
“TH juga melabur sebanyak 23 peratus daripada aset dalam pasaran ekuiti tetapi kebanyakan pelaburan kami dilaburkan dalam pasaran pendapatan tetap iaitu sukuk.
“Kita juga perlu lihat pasaran mana yang berpotensi tinggi. Memang ada banyak instrumen pelaburan tetapi kita tengok dari segi risiko yang kita akan hadapi.
“Bukan nak lari daripada risiko tetapi cuba uruskannya dengan baik kerana kita melabur sebagai institusi bagi umat Islam, bukan sebagai individu,” katanya. – UTUSAN










