KRC berjaya tarik pelaburan RM2.1 bilion - Utusan Malaysia

KRC berjaya tarik pelaburan RM2.1 bilion

Muhammad Sanusi Md. Nor ketika mempengerusikan mesyuarat NCIA-Jawatankuasa Pemandu Negeri secara dalam talian di Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Projek berimpak tinggi, Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap dekat sini berjaya menarik pelaburan berpotensi melebihi RM2.1 bilion sekali gus bakal menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan daripada pemain industri getah tempatan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, melalui pakej insentif fiskal menarik dan komprehensif, pemain industri berkenaan memberikan komitmen untuk menjadi sebahagian daripada projek tersebut yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua tahun depan.

“KRC mempunyai potensi besar seiring dengan peningkatan permintaan dunia terhadap produk-produk getah.

“Fasa pertama projek ini dimulakan tahun lepas dan kemajuan pelaksanaannya pada masa ini adalah melebihi 30 peratus.

“Kerja-kerja ekosistem pembuatan dan logistik sedang dijalankan dan KRC sedia menerima pelabur bermula tahun ini,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NCIA – Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) secara dalam talian di sini semalam.

Menurut Muhammad Sanusi, apabila siap sepenuhnya, KRC bersedia memacu Malaysia untuk muncul semula sebagai pemimpin dunia dalam industri getah yang akan memberi keuntungan kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan baharu selain peningkatan pendapatan.

KRC dibangunkan di kawasan seluas 503 hektar di Padang Terap dan merupakan projek taman perindustrian getah berstatus nasional pertama di Malaysia yang diusahakan bersama kerajaan negeri dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, sejajar dengan permintaan dunia terhadap sarung tangan kelas perubatan getah yang semakin meningkat, NCIA juga telah meluluskan pelaburan baharu bernilai RM10 bilion membabitkan pengeluar sarung tangan utama yang berhasrat memperluaskan kemudahan barisan pengeluaran mereka di Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Taman Sains dan Teknologi Bukit Kayu Hitam.

Dalam perkembangan lain, tambah beliau, projek strategik, pelaburan dan program modal insan NCIA berjaya mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan serta melahirkan lebih 3,000 usahawan mikro di Kedah.

“Sementara itu, lebih 5,000 perusahaan mikro dan peniaga kecil dan sederhana (PKS) turut diberikan bantuan kewangan.”

“Diharapkan program-program ini dapat terus memainkan peranannya dalam membantu rakyat untuk berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meluluskan pelaburan melalui insentif fiskalnya bernilai hampir RM10 bilion selain mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, logistik dan agribio bagi Kedah pada tahun lepas.

Beliau turut menyifatkan kejayaan NCER menarik pelaburan dalam tempoh mencabar ini sebagai bukti ketahanan ekonomi negara dan wilayah berkenaan.

“Ditambah pula dengan fokus dalam meningkatkan ekosistem bakat NCER melalui program modal insan bersepadu, rakyat dijangka akan melihat perkembangan sosioekonomi yang kukuh dan mampan apabila tempoh mencabar ini berakhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya