Kesan pandemik mungkin lebih lama - Utusan Malaysia

Kesan pandemik mungkin lebih lama

Penularan wabak Covid-19 terus meningkat menyebabkan rakyat mungkin berdepan impak bagi tempoh yang lebih lama. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu terus membantu rakyat yang semakin tersepit akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa yang sama, mengawal perbelanjaan supaya tidak terjerumus dalam situasi keberhutangan tinggi.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Wan Norhidayah W. Mohamad berkata, langkah yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berupaya membantu rakyat mendepani cabaran untuk jangka pendek, namun ia tidak mencukupi untuk jangka masa panjang.

“Berdasarkan peningkatan kes Covid-19 yang sudah mencecah beribu kes positif, rakyat dijangka akan menanggung kesan negatif pandemik ini lebih lama lagi.

“Statistik pengangguran dijangka akan terus meningkat berdasarkan peningkatan kes Covid-19 yang seakan tidak terkawal. Kuasa membeli rakyat juga semakin berkurang dan hal ini seterusnya memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan.

“Walaupun terdapat beberapa inisiatif diumumkan bagi menyokong sektor perniagaan, namun tanpa aliran wang tunai daripada rakyat, sektor ini mungkin tidak mampu bertahan untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wan Norhidayah berpendapat, inisiatif seperti kelonggaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium secara automatik adalah antara langkah yang membantu kelangsungan kewangan rakyat, pada masa sama tidak memberi tekanan besar kepada kewangan kerajaan.

“Lanjutan moratorium perlu diberi secara automatik tanpa faedah tambahan bagi semua individu yang memohon. Walaupun terdapat individu yang tidak terjejas pendapatan mereka secara kasar, namun mereka juga mungkin terkesan secara tidak langsung, contohnya pasangan yang hilang pekerjaan dan perlu menanggung ahli keluarga yang terjejas.

“Syarat pengeluaran KWSP boleh dilonggarkan lagi, contohnya dengan membenarkan individu yang tidak terjejas pendapatan tetapi pasangan mereka terbukti terjejas pendapatan mengeluarkan simpanan,” katanya.

Wan Norhidayah turut mencadangkan supaya kerajaan menaikkan pelepasan cukai secara keseluruhan dan bukan hanya pelepasan cukai khas bagi pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN