ECRL: 40% kerja sivil untuk syarikat tempatan - Utusan Malaysia

ECRL: 40% kerja sivil untuk syarikat tempatan

PELAKSANAAN projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3.39 bilion nilai kontrak kerja-kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) termasuk kerja-kerja sivil kekal dan sementara telah diraih syarikat tempatan sejak pelaksanaan projek tersebut dari 2017 sehingga 30 November 2020.

Menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali, ia melibatkan hampir 2,000 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

Beliau berkata, daripada kese­luruhan jumlah berkenaan, RM1.69 bilion adalah untuk kerja-kerja di Pahang, diikuti Terengganu (RM1.4 bilion) dan Kelantan (RM300 juta).

Mohd. Zuki memberitahu, sejumlah 403 kontraktor tempatan telah berjaya melepasi proses pra kelayakan dan didaftarkan di sistem pendaftaran dalam talian.

“Sebanyak 212 syarikat atau 52 peratus daripada jumlah keseluruhan pra kelayakan merupakan kontraktor bumiputera.

“Syarikat-syarikat tempatan yang telah dilantik oleh China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) juga layak memohon pembiayaan pinjaman projek daripada SME Bank melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sejak 18 November 2019 di antara MRL, CCCC dan SME Bank.

“Melalui inisiatif ini, kontraktor tempatan turut disokong dengan pilihan pembiayaan kewangan bagi memastikan pelaksanaan kerja-kerja yang menurut jadual dan menepati standard tinggi ditetapkan CCCC,” katanya dalam kenyataan semalam.

MRL dan CCCC telah mencapai persetujuan membolehkan CCCC untuk melantik sekurang-kurangnya 40 peratus sub-kontraktor dan pembekal tempatan bagi kerja-kerja sivil projek ECRL yang tidak termasuk kerja-kerja terowong.

Nilai kerja-kerja tersebut dianggarkan berjumlah sehingga RM10 bilion bagi pelaksanaan projek dari 2017 sehingga 2026.

CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor-kontraktor kecil bersaiz gred G1 hingga G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka serta keseluruhan pemain industri pembinaan dalam negara.

Mohd. Zuki Ali

Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL telah ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan bagi memantau pencapaian penyertaan tempatan dalam projek tersebut.

“Diharapkan dengan adanya jawatankuasa khas di peringkat Persekutuan, ia akan berfungsi dalam memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan berkelayakan dalam projek ECRL serta menjadi forum mengenengahkan dan menangani isu-isu berkaitan penyertaan tempatan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, MRL menyasarkan untuk memperoleh kemajuan pembinaan keseluruhan projek tersebut sehingga 30 peratus menjelang akhir tahun ini.

MRL memberitahu, pembinaan ECRL kini merekodkan kemajuan pembinaan lebih awal berbanding jadual dengan kadar keseluruhan mencecah 19.69 peratus.

Jelasnya, kemajuan tersebut dipacu oleh kerja-kerja pembinaan di Seksyen A melibatkan laluan Kota Bharu, Kelantan hingga Dungun, Terengganu dan Seksyen B, laluan Dungun, Terengganu ke Mentakab, Pahang.

“MRL juga menjangkakan pembinaan projek ECRL akan membawa manfaat besar kepada sektor pembinaan dan bahan binaan tempatan.

“Projek ini turut berfungsi sebagai penanda aras penggandaan positif terhadap kemajuan serta kelestarian ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya