KUALA LUMPUR: Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 tidak akan menjejaskan sektor ekonomi jauh sekali menimbulkan tanggapan negatif pelabur luar terhadap negara ini.
Meletakkan kepercayaan itu, penganalisis ekonomi merangkap Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md. Yasin berkata, ketika negara berdepan jangkitan wabak Covid-19 yang mencecah lebih 100,000 kes setakat ini, langkah kerajaan mengisytiharkan darurat adalah munasabah.
“Saya rasa mesejnya jelas bahawa meskipun kerajaan mengisytiharkan darurat tetapi aktiviti-aktiviti ekonomi masih berjalan seperti biasa. Pemain-pemain industri masih diberi ruang menjana pendapatan namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Saya rasa keputusan darurat boleh menghalang daripada berlaku sebarang peralihan politik dan ini jalan terbaik kerana jika tiada kestabilan politik memberi kesan terhadap ekonomi dan aspek lain akan menjadi lebih teruk. Jika mahukan sektor ekonomi berkembang, maka politik haruslah stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Yang di-Pertuan Agong kelmarin berkenan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos untuk membendung wabak Covid-19.
Berikutan pelaksanaan darurat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parlimen akan digantung dan semua pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan.
Bagaimanapun, kata Muhyiddin, fungsi badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa.
Mengulas lanjut, Ida berkata, rakyat negara ini harus bersyukur kerana sepanjang krisis politik belum pernah berlaku protes besar-besaran seperti yang tercetus di negara-negara lain.
“Kalau berdasarkan pengalaman di negara ini, rakyat negara kita bergaduh di media sosial, tetapi ia tidak ditunjukkan melalui kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti pergaduhan besar-besaran, kerosakan dan kebakaran. Rakyat kita masih rasional,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, ketika ini, ekonomi negara dalam fasa pemulihan lantunan drastik berbentuk ‘V’ namun kemungkinan proses tersebut boleh berubah kepada pertumbuhan ekonomi berbentuk ‘W’ susulan pengisytiharan darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, keadaan itu meletakkan para pelabur dalam keadaan berkira-kira sama ada mahu terus melabur atau membabtalkan hajat.
Pertumbuhan ekonomi bentuk ‘V’ merupakan proses pemulihan yang berlaku sangat pantas selepas berlaku kemelesetan dalam tempoh panjang manakala ekonomi berbentuk ‘W’ adalah berbahaya kepada pelabur kerana pemulihan ekonomi yang berlaku menunjukkan tanda positif namun secara tiba-tiba menurun untuk kali kedua dalam tempoh yang singkat.
“Impak kepada ekonomi dan persepsi pelabur harus merujuk kepada keadaan pasaran pada suku pertama, kedua, ketiga dan terakhir tahun ini kerana pasaran pada setiap suku tahunan akan memberikan jawapan yang jelas bagaimana sesuatu kejadian seperti darurat yang dihadapi sekarang akan memberi impak kepada mereka,” kata Nuradli. – UTUSAN










