KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan sesi dagangan pertama dalam tahun 2021 semalam dengan mencatatkan prestasi negatif disebabkan aktiviti pengambilan untung.
Ketika ditutup pada pukul 5 petang, indeks penanda aras negara FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 24.64 mata atau 1.51 peratus kepada 1,602.57 mata dengan indeks minyak sawit Asia dolar Amerika Syarikat (FBM APUSD) dan indeks minyak sawit Asia ringgit (FBM APMYR) menerajui pasaran apabila masing-masing meningkat dua dan 1.6 peratus.
Pada masa yang sama, sektor penjagaan kesihatan dan pembinaan menyaksikan penyusutan masing-masing sebanyak 4.3 dan 2.9 peratus.
FBM KLCI dibuka 1.8 mata lebih tinggi kepada 1,629.01 berbanding 1,627.21 mata sewaktu ditutup, Khamis lalu, namun mengalami penguncupan pada pukul 9.13 pagi sebanyak 11.81 mata kepada 1,615.4 mata.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, penurunan indeks FBM KLCI mungkin disebabkan oleh kegiatan pengambilan untung kaunter berkaitan sarung tangan getah dan perbankan yang banyak mencatatkan kejatuhan harga.
Selain itu, beliau turut memberitahu, kebimbangan terhadap sekatan pergerakan di beberapa negara maju disebabkan peningkatan kes Covid-19 turut mendorong kepada kelemahan pasaran ekuiti tempatan.
“Isu Covid-19 sentiasa menghantui sentimen sehinggalah vaksin dilancarkan pada skala yang besar.
“Meskipun demikian, prospek keuntungan bagi sektor sarung tangan dan perbankan masih lagi baik berikutan jangkaan pemulihan ekonomi lebih rancak tahun ini.
“Justeru, kejatuhan indeks FBM KLCI ini dijangka hanya bersifat sementara dan kami menyasarkan ia bakal mencecah 1,750 mata pada penghujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bursa Malaysia didagangkan antara julat 1,593.12 hingga 1,629.17 mata dengan 7.42 bilion saham bertukar tangan melibatkan nilai berjumlah RM5.888 bilion.
Sebanyak 360 kaunter mencatatkan keuntungan manakala 934 rugi dengan 331 lagi tidak berubah.
Sementara itu, ringgit pula dilihat semakin mengukuh apabila naik kepada RM4.0050/0110 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mencatatkan RM4.0150/0190 semasa ditutup pada Khamis lalu.
Ringgit melepasi paras RM4.00 berbanding dolar AS pada tahap RM3.995 semasa pukul 10.30 pagi semalam iaitu kali pertama sejak Jun 2018.
Mohd. Afzanizam berkata, faktor utama yang mendorong penurunan nilai dolar AS adalah disebabkan prospek ekonomi global yang semakin baik menyebabkan ramai pelabur mahu mengambil risiko.
Beliau berkata, isu berkaitan rangsangan fiskal di AS berjumlah AS$900 bilion serta perjanjian Brexit antara United Kingdom (UK) dan Eropah telah banyak membantu menaikkan selera risiko dalam kalangan pelabur.
Selain itu, beliau menjelaskan, harga komoditi seperti harga minyak mentah yang telah melebihi AS$50 setong juga membantu menaikkan nilai ringgit.
“Sememangnya risiko untuk ringgit kembali lemah terutama ketidaktentuan disebabkan pandemik Covid-19 masih jelas kelihatan.
“Di samping itu, faktor politik domestik juga boleh menyumbang kepada kemeruapan ringgit. Justeru, sebarang kenaikan akan terus dipantau disebabkan ketidakpastian ekonomi yang masih jelas,” katanya. – UTUSAN










