Projek mega bantu pacu Gamuda - Utusan Malaysia

Projek mega bantu pacu Gamuda

Rakyat memerlukan rangkaian pengangkutan awam yang lebih meluas untuk kemudahan mereka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula projek infrastruktur awam mega termasuk Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mampu memacu pertumbuhan Gamuda Berhad (Gamuda).

Penganalisis MIDF Research, Khoo Zhen Ye berkata, Gamuda bakal mendapat manfaat besar daripada projek-projek tersebut menerusi rekod prestasi kukuh yang ditonjolkan dalam Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan projek awam utama lain.

Katanya, projek MRT3 mungkin akan menjadi projek paling awal dilancarkan pada separuh kedua tahun kewangan 2021 memandangkan projek MRT 2 dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang penghujung 2022.

“Jika diingat kembali, MMC-Gamuda telah dilantik sebagai rakan penyampaian projek MRT2 pada Oktober 2014, kira-kira tiga tahun sebelum siapnya MRT1 pada Julai 2017.

“Pelaksanaan semula HSR juga memberi kelebihan kepada Gamuda memandangkan syarikat tersebut dianggap calon berpotensi disebabkan reputasinya dalam projek awam dan penyata imbangan yang kukuh.

“Oleh itu, kami berpendapat tahun kewangan 2021 ini akan meningkatkan kembali perolehan Gamuda,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Dalam suku pertama tahun kewangan 2021, Gamuda mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 30.3 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM109.4 juta.

Penurunan tersebut disebabkan kemerosotan pendapatan hartanah sebanyak 80 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM9.9 juta.

Zhen Ye berkata, bahagian pembinaan Gamuda tetap mempunyai peluang cerah berdasarkan kepada ketahanan margin keuntungan sebelum zakat dalam suku pertama tahun kewangan 2021.

Dalam jangka masa panjang, Zhen Ye berpendapat, prospek Kumpulan akan disokong oleh tempahan kukuh kira-kira RM6.1 bilion yang mampu menyumbang perolehan dalam tiga tahun lagi.

“Ditambah dengan tumpuan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara, kami kekal positif dengan prospek didorong oleh pengembangan pasaran pembinaan Australia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya