Pengekalan OPR 1.75 peratus bantu prestasi Bursa Malaysia - Utusan Malaysia

Pengekalan OPR 1.75 peratus bantu prestasi Bursa Malaysia

FBM KLCI ditutup lebih kukuh pada 1504.10 pada pukul 5 petang semalam.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 1.75 peratus sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun hadapan secara tidak langsung bakal membantu momentum prestasi indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, kaunter perbankan meliputi komposisi terbesar iaitu kira-kira 25 peratus dalam FBM KLCI.

Beliau berkata, OPR sememangnya pemacu utama kepada pendapatan sektor perbankan dengan sekiranya kekal, margin faedah bersih (NIM) atau margin pendapatan bersih akan terus stabil.

Katanya, sekiranya OPR dinaikkan, ia akan menyumbang kepada pengembangan NIM disebabkan kos dana mengambil masa untuk kembali ditingkatkan manakala pulangan aset perlu diselaraskan dengan pe­ningkatan OPR.

“Kaunter perbankan akan menjadi pilihan terutama membabitkan pelabur institusi di­sebabkan dividen yang ditawarkan apatah lagi dalam keadaan kondusif sektor tersebut ketika ini.

“Memandangkan pasaran ekuiti bersifat ‘pandang ke hadapan’, maka jangkaan pemulihan ekonomi yang berterusan pada 2021 dan seterusnya akan membantu pengembangan NIM dan keuntungan bagi sektor perbankan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Selepas dua hari mencatatkan keputusan positif, FBM KLCI ditutup sedikit rendah apabila turun 7.06 mata kepada 1,674.35 mata semalam berbanding me­ningkat 7.39 mata kepada 1,681.41 mata dalam sesi daga­ngan Rabu lalu.

Bursa Malaysia didagangkan antara 1,669.69 hingga 1,684.30 mata pada sesi dagangan semalam sebelum ditutup pada 1,674.35 mata.

Sebanyak 9.235 bilion saham telah didagangkan pada nilai RM4.33 bilion dengan 445 kaunter mencatatkan keuntungan berbanding 790 kaunter rugi manakala 454 kaunter tidak berubah.

Tambah Mohd. Afzanizam, walaupun secara umumnya pasaran modal disifatkan agak optimistik tahun hadapan, namun penurunan prestasi FBM KLCI tetap boleh berlaku di­sebabkan ketidakpastian masih wujud.

Mohd. Afzanizam berkata, ia ditambah selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan aset pinjaman tidak berbayar (NPL) bakal meningkat kepada 3.1 peratus penghujung tahun ini dan 4.1 peratus pada akhir 2021.

“Justeru, sektor perbankan dijangka akan terus berhati-hati sekali gus menjadikan ketidakpastian keuntungan industri perbankan masih jelas.

“Namun begitu, saya menjangkakan FBM KLCI bakal berlegar antara 1,690 hingga 1,700 berdasarkan kepada momentum positif yang dicapai setakat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN