Malaysia perlu baiki defisit fiskal - Utusan Malaysia

Malaysia perlu baiki defisit fiskal

PELANCONGAN antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semakan turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia oleh Fitch Ratings memberi isyarat bahawa kerajaan memerlukan strategi jelas untuk memperbaiki kedudukan defisit fiskal yang melebar.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, ia mungkin dapat dilakukan apabila ekonomi negara mula pulih pada tahun 2022 dan seterusnya.

“Kerajaan perlu ada perancangan yang rapi terutamanya dari sudut komunikasi kepada rakyat serta tadbir urus yang baik.

“Ini adalah kerana dasar untuk memperbaiki kedudukan kewangan sememangnya tidak popular seperti pengenalan cukai-cukai baharu serta pengurangan perbelanjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fitch Ratings menurunkan IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia daripada A- kepada BBB+ minggu lalu.

Menurut agensi penarafan itu, penurunan nilai IDR disebabkan beberapa kredit metrik utama Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan kecewa dengan keputusan tersebut kerana tanda awal pemulihan ekonomi Malaysia sudah mula dicatatkan hasil pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac.

Menurut Mohd. Afzanizam, penurunan tersebut akan memberi impak kepada kos pinjaman kerajaan yang mana kadar pulangan bakal meningkat akibat aktiviti jualan di pasaran bon terutamanya oleh pelabur asing.

“Untuk rekod, milikan asing di dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) adalah 40.3 peratus setakat Oktober 2020,” katanya.

Namun, kata beliau, penarafan semula tersebut mungkin lebih menjejaskan pasaran bon dan mata wang milikan asing yang mana pelabur berkemungkinan akan menjual pegangan mereka dalam instrumen berkenaan.

Bagi pasaran ekuiti pula disebabkan pelabur asing sudah sememangnya penjual bersih, kesan kepadanya agak minimum.

Tambah beliau, ia juga tidak semestinya membuatkan lebih ramai pelabur asing lari dari pasaran Malaysia kerana negara mempunyai ekonomi yang berdaya saing seperti sumber alam yang banyak serta kerajaan yang sentiasa proaktif membantu merancakkan ekonomi melalui dasar fiskal yang mengembang selain dasar monetari yang akomodatif.

“Untuk kedudukan ringgit, mungkin akan berlaku kegiatan pengambilan untung kerana ringgit telah mengukuh ke paras yang begitu memberangsangkan, iaitu sekitar RM4.06 hingga RM4.07 (untuk AS$1) berbanding pada pertengahan Mac lalu iaitu RM4.447,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya