MAHB catat kerugian terbesar - Utusan Malaysia

MAHB catat kerugian terbesar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) terus mencatatkan kerugian pada suku ketiga 2020 dengan nilai kerugian bersih sebanyak RM319.72 juta.

Ia merupakan kerugian bersih terbesar yang dicatat pada tahun kewangan ini selepas turut mencatatkan kerugian bersih pada suku kedua sebanyak RM91.07 juta dan suku pertama sebanyak RM20.39 juta.

Ia menjadikan kerugian terkumpulnya pada tahun kewangan ini sebanyak RM431.17 juta, penurunan kira-kira 185 peratus berbanding keuntungan bersih RM507.53 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan MAHB turut berkurang sebanyak 58.6 peratus daripada RM3.87 bilion pada sembilan bulan pertama tahun lalu kepada RM1.6 bilion untuk tempoh sama tahun ini berikutan penguncupan 65.5 peratus pergerakan penumpang di­sebabkan pandemik Covid-19.

Namun, berbanding suku sebelumnya, pendapatan MAHB meningkat 45.7 peratus kepada RM396.7 juta pada suku ketiga daripada RM272.2 juta pada suku kedua.

Ia berikutan permulaan semula penerbangan domestik pada 1 Jun dan penerbangan antarabangsa pada 11 Jun di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), Turki.

Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan 36.2 juta penumpang dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020, penyusutan sebanyak 65.5 peratus berban­ding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, trafik penumpang antarabangsa ber­kurang 73.6 peratus manakala trafik penumpang domestik susut 58.2 peratus.

MAHB melihat pembukaan semula operasi hab e-fulfillment di Hab Platform Perdagangan Aeropolis Elektronik Dunia Cainiao pada awal November lalu dapat meningkatkan kekerapan penerbangan dan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Fasiliti terbaharu ini dijangka membantu meningkatkan volum kargo sebanyak 700,000 tan metrik, sekali gus meningkatkan volum semasa KLIA kepada 1.4 juta tan metrik setiap tahun menjelang 2029,” kata­nya.

Sementara itu, KLIA turut akan memperkenalkan penggunaan teknologi nyah kuman automatik terbaharu untuk tandas-tandasnya sebagai langkah meningkatkan keselamatan di lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, syarikat itu akan terus mengutamakan tahap keselamatan tinggi di lapangan terbang.

“Keselamatan lapangan terbang sering menjadi kebimbangan penumpang, maka amat penting bagi kami sentiasa meneroka kaedah baharu untuk mengatasi kebimbangan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.