Mah Sing terima 'lampu hijau' - Utusan Malaysia

Mah Sing terima ‘lampu hijau’

Mah Sing memperoleh kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi mempelbagaikan perniagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd. telah menerima kelulusan daripada pemegang saham bagi cadangan meneroka perniagaan pembuatan dan dagangan sarung tangan serta produk penjagaan kesihatan menerusi Mah Sing Healthcare Sdn. Bhd.

Dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secara maya semalam, Mah Sing memperoleh kelulusan daripada 99.9962% pemegang sahamnya bagi mempelbagaikan perniagaan sekali gus meningkatkan perolehan.

Menurut Mah Sing, enam barisan pengeluaran pertama kilang pembuatan syarikat itu di Kapar, Klang berada dalam landasan tepat untuk mula beroperasi mengikut jadual pada suku kedua 2021, diikuti enam barisan lagi pada suku ketiga 2021.

Mah Sing berkata, ia sekali gus bakal memiliki kapasiti pengeluaran maksimum sehingga 3.68 bilion sarung tangan setahun.

Katanya, peningkatan struktural penggunaan sarung tangan ekoran norma baharu, kebimbangan jangkitan semula, kesedaran kesihatan dan keperluan pematuhan kebersihan tidak kira sektor penjagaan kesihatan atau tidak akan terus melonjakkan permintaan sarung tangan walaupun selepas vaksin mula didapati.

“Perkara yang sama juga akan berlaku kepada pasaran hartanah dengan ekonomi secara beransur-ansur pulih. Mah Sing akan terus aktif mencari peluang sama ada dalam perniagaan pembuatan atau hartanah.

“Mah Sing juga akan meneroka peluang untuk menceburkan diri dalam bidang berkaitan produk penjagaan kesihatan seperti peralatan pelindung diri (PPE), farmaseutikal atau produk perubatan serta perkhidmatan di samping aktiviti huluan dan hiliran sekiranya ada permintaan untuk produk atau perkhidmatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum sekali lagi menyatakan hasrat untuk meneroka peluang menyenaraikan bahagian pembuatan syarikat itu di pasaran saham Hong Kong dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, kepelbagaian perniagaan itu akan menjadi pelengkap yang baik bagi perniagaan teras sedia ada iaitu pembangunan hartanah yang tertumpu kepada pasaran domestik.

“Sokongan yang diberikan pemegang saham menandakan pengesahan kukuh kepada Kumpulan terutama dalam perjalanan baharu ke arah perniagaan pembuatan sarung tangan.

“Cadangan kepelbagaian perniagaan terutama menyasarkan pasaran global diharap dapat meningkatkan bahagian pembuatan sedia ada kami,” katanya.

Pada masa sama, Mah Sing turut menekankan bahawa pembangunan hartanah terus menjadi tumpuan utama syarikat dengan setakat 30 September lalu, syarikat itu telah berjaya mencapai jualan kira-kira RM847.1 juta dan berada dalam landasan tepat memperoleh RM1.1 bilion jualan yang disasarkan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya