KSK Land raih pembiayaan bersindiket RM650 juta - Utusan Malaysia

KSK Land raih pembiayaan bersindiket RM650 juta

Lakaran artis projek 8 Conlay di Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, KSK Land iaitu anak syarikat milik penuh KSK Group Berhad telah memperoleh kemudahan pembiayaan bersindiket bernilai RM650 juta daripada Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB).

Pembiayaan tersebut adalah untuk tempoh sehingga tujuh tahun bagi membiayai kos pembinaan dan pembangunan hotel dan residensi 8 Conlay Kempinski (Menara C) sebagai sebahagian daripada pembangunan mewah bersepadu 8 Conlay.

Ketua Pegawai Eksekutif KSK Group dan Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua berkata, syarikat itu berpandangan positif mengenai prospek industri perhotelan pasca Covid-19 yang mana prestij jenama serta nilai hotel mewah seperti Kempinski akan masih diutamakan dalam kalangan pelancong.

Beliau turut berkeyakinan bahawa perjalanan dan pelancongan akan menyaksikan pemulihan dan melonjak semula setelah hotel serta residensi 8 Conlay Kempinski siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Katanya, KSK Land merupakan sebuah syarikat kukuh dan mempunyai sokongan kewangan yang diperlukan untuk bertahan pada tahun-tahun akan datang.

“Apabila kami memanfaatkan kekuatan ini, kami akan berupaya untuk menarik individu bernilai tinggi yang ingin menyertai kelas aset hartanah berjenama.

“Bagi pihak KSK Land, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Maybank dan BPMB serta berharap untuk dapat terus berkembang bersama-sama dalam perjalanan penting ini,” katanya dalam kenyataan.

Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai penyusun utama dan penaja jamin yang dimandatkan serta ejen sekuriti bagi kemudahan pembiayaan bersindiket itu.

8 Conlay merupakan hartanah bersepadu tiga menara di tengah-tengah Kuala Lumpur turut menyediakan kemudahan Hotel Kempinski bertaraf lima bintah, kuarter gaya hidup pengalaman runcit dan dua menara kediaman diberi nama Yoo8 diurus oleh Kempinski.

Setelah siap, 8 Conlay bakal memiliki menara kediaman berkembar berpintal tertinggi di dunia dengan jumlah keseluruhan 1,062 unit termasuk ruang istirehat di tingkat 26 dan tempat perlindungan serba hijau di tingkat 44.

Setakat ini, KSK Land telah memperoleh lebih daripada 80 peratus dan 40 peratus kadar pengambilan masing-masing untuk Menara A dan Menara B Yoo8. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya