Kehidupan getir sepanjang PKP - Utusan Malaysia

Kehidupan getir sepanjang PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 nyata memberi kesan besar kepada sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya golongan B40, M40 dan peniaga kecil.

Dalam menyokong usaha kerajaan membantu rakyat mendepani saat gawat sepanjang siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), CTOS Data Systems Sdn. Bhd. telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dikenali sebagai Kempen `CTOS Cares.’

Melalui program tersebut, CTOS telah memberikan perkhidmatan penilaian kredit secara percuma, CTOS Score membabitkan lebih 100,000 orang.

CTOS Score adalah nombor 3 digit yang mewakili kedudukan risiko kredit seseorang individu dan digunakan sebagai salah satu rujukan oleh institusi kewangan semasa proses kelulusan pinjaman.

Laporan Kredit CTOS merangkumi skor kredit, rekod litigasi atau kebankrapan dan laporan CCRIS yang mengandungi rekod pembayaran, jenis-jenis kredit yang anda miliki dan jumlah hutang, tempoh rekod kredit serta rekod permohonan kredit baharu di bawah nama anda.

Dalam pada itu, untuk mendapat gambaran lebih jelas kesan pandemik kepada rakyat, CTOS telah bekerjasama dengan Utusan Malaysia, menjalankan satu soal selidik baru-baru ini.

Hasil soal selidik itu mendapati, rata-rata responden menyatakan ekonomi mereka terjejas sepanjang PKP dilaksanakan sejak Mac lalu.

Akibatnya, mereka tidak dapat memenuhi komitmen untuk melangsaikan hutang-piutang seperti sebelum Covid-19 melanda.

Mereka juga kurang pengetahuan mengenai aspek pengurusan kewangan yang betul sehingga menjejaskan skor kredit mereka.

Menurut seorang peniaga dari Selangor, Mohamad Azhan Mohamd Ramlan, 41, kesan Covid-19 ke atas perniagaannya sangat ketara sehingga dia tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos operasi.

“Kesan Covid-19 ke atas perniagaan saya sangat ketara sehingga tidak mempunyai pendapatan bulanan yang mencukupi. Saya juga terpaksa memberhentikan pekerja, tidak boleh membayar sewa pejabat, pinjaman bank pun tak boleh bayar. Bayar pun sekadar termampu. Saya juga berdepan masalah membayar bil-bil bulanan,” katanya.

Mohamad Azhan yang mengusahakan perniagaan sendiri sejak 20 tahun lalu berkata, dia ada cuba memohon bantuan kewangan sebelum ini, tetapi tidak berjaya disebabkan rekod atau penyata bulanan kewangannya tidak `cantik.’

Justeru, dia yang mendapat moratorium selama enam bulan berharap, akan mendapat bantuan dalam aspek pengurusan kewangan agar memudahkannya mendapat pinjaman atau geran pembangunan pada masa hadapan.

Jurufoto bebas, Shaikh Ahmad Razif, 48, dari Pahang pula memberitahu, kesan pandemik menyebabkannya hilang pendapatan kira-kira 80 peratus disebabkan tiada tempahan sesi fotografi akibat PKP.
Dia turut mengakui berdepan masalah dalam mengurus hutang atau pinjaman sepanjang pelaksanaan PKP disebabkan pendapatan terjejas.

“Malah, saya juga setiap bulan bermasalah untuk membayar bil-bil bulanan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya yang telah 16 tahun berkecimpung dalam dunia fotografi.

Menurut Shaikh Ahmad, bantuan moratorium dan pengeluran i-Lestari yang diterima, memberi sedikit kelegaan kepadanya sepanjang tempoh sukar itu, namun jumlah yang diperolehi masih tidak memadai.

Turut berkongsi cerita `pahit’ sepanjang PKP ialah, Mohd. Zaidi Zainal Abidin, 33, apabila perniagaan yang diusahakannya sejak lebih lima tahun lalu merosot sehingga lewat membayar hutang-piutang.

Untuk itu, Mohd. Zaidi yang tidak memohon sebarang bantuan selain moratorium sepanjang tempoh berkenaan, berharap dapat mempelajari aspek pengurusan kewangan terutama membabitkan hutang demi manfaatnya pada masa hadapan.

Ini kerana, dia mengakui masih tidak celik mengenai skor kredit dan fungsinya dalam membantu seseorang individu ketika memohon pinjaman di mana-mana institusi kewangan.

Lain pula ceritanya dengan Siti Nur Syafiqah Husin, 25, dari Selangor yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan terpaksa mengharungi pandemik tanpa sebarang sumber pendapatan.

“Sebelum pandemik pun saya susah nak dapat kerja, bila terjadi Covid, peluang lagi tipis untuk mendapat pekerjaan. Akibatnya, saya tiada sebarang pendapatan. Saya tidak memohon moratorium kerana tiada punca pendapatan,” katanya.

Keadaan berbeza dialami seorang guru di Putrajaya, M. Puvaneswari, 40, yang mempunyai pekerjaan tetap ketika ramai orang yang diberhentikan kerja, pada masa sama turut menerima bantuan moratorium selama enam bulan berakhir 30 September lalu.

Menurut guru berkenaan, bantuan yang diterima adalah mencukupi dan dia juga tidak berdepan masalah seperti lewat membayar semula pinjaman dan bil bulanan, sepanjang PKP dilaksanakan.

“Saya juga tidak memohon bantuan lain kerana tidak layak,” katanya yang mengakui tidak tahu mengenai skor kredit dan berharap dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai aspek pelaburan.

Melalui soal selidik ini, dapat dirumuskan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia kurang pengetahuan pengurusan kredit yang baik. Oleh itu, lebih banyak inisiatif yang perlu dilakukan dalam usaha memberi kesedaran tentang celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia.

Skor kredit boleh diperolehi dengan menyemak laporan MyCTOS Score anda. Maklumat-maklumat di dalam Laporan Kredit CTOS dapat membantu seseorang menguruskan perancangan kewangan dengan baik dan membuat keputusan untuk meningkatkan kesihatan kewangan mereka.

Dengan mengetahui status skor kredit, anda dapat merancang dan membuat keputusan kewangan dengan bijak, serta memperbaiki skor kredit dari semasa ke semasa.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan CTOS Score, orang ramai boleh melayari www.ctoscredit.com.my – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.