INSPIRASI NIAGA
BALIK PULAU : Pengusaha Dodol tradisional yang dijenamakan semula dengan menggunakan jenama Dodol Desaku, merancang meluaskan pasaran makanan tradisi itu menerusi platform e-dagang.
Pemilik FnC Kola Enterprise, Nur Aimi Razak, 28, berkata, pihaknya merancang untuk memasarkan Dodol Desaku menerusi platform e-dagang terkenal seperti Alibaba bagi membolehkan capaian pelanggan di seluruh dunia termasuk penggemar dodol di India, Australia, United Kingdom, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Nur Aimi berkata, pada masa ini Dodol Desaku telah dijual secara dalam talian menerusi platform Shoppe, Facebook, Instagram dan platform dalam talian, AgroBazar Online.
“Pada masa situasi pandemik Covid-19, kami tidak dapat berniaga menggunakan kaedah biasa seperti di bazaar atau di ekspo.
“Permintaan untuk dodol sentiasa ada, jadi saya mengambil inisiatif untuk meluaskan lagi pasaran Dodol Desaku menerusi pasaran dalam talian termasuk platfrom e-dagang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Nur Aimi berkata, Dodol Desaku hasil air tangan ibunya, Rozaidah Mohd. Kasim, 52, mula berada di pasaran pada 2011 selepas ibunya mengikuti kursus usahawan anjuran Jabatan Pertanian di Manong, Perak.
“Ibu saya yang memulakan perniagaan ini di Kuala Sungai Pinang dan kemudiannya saya yang bertugas di bank, mengambil keputusan membantu beliau dalam bidang pemasaran.
“Segala urusan berkaitan pengeluaran diuruskan oleh ibu yang lebih mahir selok-belok resepi dodol dan saya pula fokus untuk mengembangkan lagi pasaran produk kami,” katanya.
Nur Aimi, graduan dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Perbankan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok berkata, penggunaan dapur moden dan mesin khas yang diperoleh daripada geran Jabatan Pertanian melicinkan lagi operasi pembuatan dodol itu.
“Dodol perlu dimasak selama 10 jam, kami mempunyai dua buah mesin yang masing-masing boleh memasak dodol sehingga 30 dan 50 kilogram sekali masak.
“Dalam seminggu, kami akan memasak dodol sebanyak dua kali dan di dalam sebulan sekurang-kurangnya 200 hingga 300 kilogram dodol dapat dihasilkan,” katanya.
Tambahnya, Dodol Desaku boleh didapati menerusi ejen-ejen syarikat mereka di Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Perak.
“Kami juga merancang untuk melihat produk Dodol Desaku berada di seluruh negara menerusi kioks-kioks khas dan sistem ejen,” katanya.
Nur Aimi menambah, selain dodol, FnC Kola Enterprise turut mengeluarkan pes rendang, pes sambal kacang dan pes ayam pedas sebagai produk hiliran.
Katanya, produk-produk keluaran mereka seperti dodol yang dijual serendah RM0.80 sen sepeket (bersaiz kecil) boleh didapati di platform online seperti Dodol Penang by Fnc Kola (Facebook), Dodol_penang (Instagram), FnC Kola Food Resources (Shoppe). – UTUSAN










