KUALA LUMPUR: Kontroversi pembelian ‘aneh’ 37 peratus kepentingan Eagle High Plantations (EHP) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui FIC Properties Sdn. Bhd. (FIC) pada 2017 pernah mendapat liputan meluas media beberapa tahun lalu.
Terlalu banyak yang mencurigakan dalam pembelian tersebut kerana harga AS$505.4 juta (RM2.1 bilion) dibayar FIC dilihat terlalu tinggi untuk pegangan 37 peratus syarikat itu yang mengalami kerugian.
Lebih menghairankan, pembelian itu tidak memberi kawalan penuh kepada FIC kerana pegangan majoriti masih milik Rajawali Group dengan 37.64 peratus.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam taklimat kepada media Jumaat lalu berkata, opsyen jual yang terkandung dalam perjanjian pembelian EHP akan dilaksanakan apabila ia dibenarkan pada 2022.
Menurut pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah tersebut tepat kerana ia dapat membantu Felda melunaskan hutang-hutang yang membebaninya, sekali gus menyokong usaha pemulihannya.
“Apa yang penting adalah untuk meningkatkan kecairan dalam Felda supaya boleh digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang dan memperkemas operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Ahmed Razman, isu yang membelenggu Felda sehingga terlibat dengan pembelian tersebut adalah masalah tadbir urus dan ketidakpatuhan kepada prosedur pelaburan yang baik.
“Sepatutnya ada jawatankuasa pelaburan yang perlu membentang kepada Ahli Lembaga Pengarah, tetapi ia tidak berlaku.
“Jadi, selain daripada menstrukturkan semula kedudukan aset dan liabiliti, Felda perlu memastikan tadbir urus korporatnya berada pada tahap tertinggi,” katanya. – UTUSAN










