PNB lancar ASN Imbang 3 Global - Utusan Malaysia

PNB lancar ASN Imbang 3 Global

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan ASN Imbang 3 Global sambil disaksikan oleh Dr. Zeti Aziz dan Ahmad Zulqarnain Onn di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan produk dana harga berubah baharu untuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), iaitu ASN Imbang 3 Global.

Produk tersebut merupakan unit amanah pertama ASNB yang melabur di pasaran kewangan luar negara dan terbuka untuk semua rakyat Malaysia dengan pelaburan permulaan minimum RM10.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pengenalan dana tersebut membuka ruang buat rakyat Malaysia untuk meluaskan rangkaian pelaburan.

“Semua rakyat Malaysia boleh melabur di luar negara dan mengakses produk kewangan di luar sempadan negara.

“Kami mengurangkan halangan dan menjadikannya lebih mudah untuk pelabur terus meluaskan pelaburan ke dalam pasaran dan geografi berbeza,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Minggu Saham Digital (MSD) secara maya semalam.

MSD adalah adaptasi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) dalam bentuk digital, bersesuaian dengan agenda digitalisasi sebagai sebahagian daripada pelan transformasi organisasi.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Husin dalam kenyataan berkata, sebanyak RM290 juta telah dilanggan melibatkan lebih 5,000 pelabur sejak ASN Imbang Global ditawarkan dalam pasaran terhad 16 September lalu.

Beliau berkata, tabung ASN Imbang 3 Global yang berada dalam Aset Campuran Imbang, akan melabur dalam portfolio pelbagai terdiri daripada sekuriti tersenarai dan tidak tersenarai, pendapatan tetap dan instrumen pasaran tunai.

“Kira-kira 65 peratus daripada Nilai Aset Bersih tabung ini akan dilaburkan dalam pasaran ekuiti, selebihnya dalam sekuriti pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang termasuk aset mudah cair,” katanya.

Penanda aras prestasi yang ditetapkan untuk dana ini ialah gabungan prestasi antara MSCI All Country World Index (ACWI) dan Deposit Tetap 12 bulan Maybank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya