Pernah jual 7 tan kerepek sebulan - Utusan Malaysia

Pernah jual 7 tan kerepek sebulan

MOHAMAD SHAFRY menunjukkan dua perisa Kepek Ibu yang mendapat permintaan tinggi, iaitu perisa Pedas Basah dan Lada Hitam. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jenama Kepek Ibu bermula dari reruai kecil

KUALA LUMPUR: Dua tahun lalu, Mohamad Shafry Mohamad, 31, tidak ada apa-apa ilmu tentang perniagaan.

Namun, atas desakan mendapatkan lebih wang untuk sambutan Aidilfitri, dia yang lebih dikenali sebagai Ully cuba untuk berniaga kerepek secara kecil-kecilan.

Lokasinya di Institut Jantung Negara (IJN), tempat isterinya bekerja. Dia membuka reruai kecil untuk menjual kerepek ubi sepanjang Ramadan. Ketika itu dia belum serius, hanya mahu mendapatkan wang sampingan.

Selesai Ramadan, tanpa disangka-sangka jualan kerepeknya sangat menguntungkan. Untung bersihnya kira-kira RM6,000. Ia sangat mengujakan tetapi belum mampu memberi motivasi untuk terus menjadikan perniagaan sebagai punca pendapatan utama.

Ully kembali kepada rutin sehariannya sebagai jurutera bunyi di Studio Kamar Seni dan bermain muzik dalam beberapa kugiran. Tiada niat langsung mahu menjadi saudagar kerepek secara serius.

“Dua minggu selepas hari raya, ada pemilik restoran hubungi saya. Dia mahu beli kerepek.

“Saya beritahu tak ada, sebab saya hanya berniaga sewaktu Ramadan itu saja,” katanya, mengimbas detik produknya, Kepek Ibu mula mendapat permintaan.

Dipendekkan cerita, selepas pemilik restoran itu membeli produknya secara pukal dan berkala, permintaan untuk Kepek Ibu yang ketika itu masih belum ada jenama mahupun pembungkusan yang wajar mula meningkat.

Dua tahun berniaga, Ully sudah melalui proses bertatih, merangkak, berjalan dan berlari dalam perniagaannya. Dari kosong kini berisi.

Kepek Ibu mula dipasarkan secara meluas. Pembungkusannya ditambah baik. Jenamanya dicipta dan dikembangkan sehingga menjadi buah mulut orang ramai.

“Hari Raya Aidiladha yang lalu, saya berjaya jual tujuh tan kerepek dalam masa sebulan. Satu tan boleh dapat sehingga 3,600 pek, jadi keseluruhanya lebih kurang 25,000 pek.

“Apabila dapat tempahan yang banyak macam itu, kita dah tak pandang duit. Kita fikir, macam mana nak penuhi permintaan sebab orang mahu produk kita tapi kerepek tak cukup, plastik tak cukup,” jelasnya.

Menurut Ully, ketika itu terdapat 20 stokis yang mahukan produknya tetapi terpaksa ditolak kerana stok yang tidak mencukupi.

“Selepas ini saya dah tahu dan lebih bersedia, untuk hari raya perlu sediakan lebih ba­nyak stok,” katanya.

Kini, secara purata dia boleh menjual satu tan kerepek sebulan.

Kepek Ibu kini menjadi sumber pendapatan untuk Ully walaupun ia tidak dijalankan secara sepenuh masa. Dia masih seorang jurutera bunyi.

Cuma, masa untuk muzik, keluarga dan kawan-kawan le­bih terhad. Baginya, itu cabaran yang perlu dilalui.

“Dalam perniagaan, yang penting kita perlu bangunkan sendiri sistem kita berniaga. Perlu ada supaya perniagaan kita lebih tersusun.

“Kemudian, perlu konsisten dan jangan mudah putus asa. Saya pun masih belum kaya, mungkin lagi 10 tahun baru kaya,” katanya menutup bicara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN