KUALA LUMPUR: Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) menyediakan pelbagai kemahiran dan latihan serta membuka peluang pekerjaan bagi menjana pendapatan kepada rakyat Malaysia menerusi skim Penempatan dan Latihan, Pembangunan B40 dan Gerak Insan Cemerlang (GIG).
Dua lagi skim iaitu Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula memfokuskan kepada peningkatan kemahiran bagi memastikan pengusaha perusahaan dan tenaga kerja mempunyai kepelbagaian kemahiran yang boleh membantu mereka dalam mempertingkatkan produktiviti dan kebolehpasaran.
Inisiatif Penjana HRDF yang diperkenal oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada 22 Jun lalu telah menerima 12,000 kertas cadangan melibatkan 2,470 penyedia latihan dan lebih 2,000 majikan menawarkan pekerjaan.
Inisiatif tersebut juga dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada pelajar lepasan sekolah, graduan yang masih menganggur, pekerja yang diberhentikan, suri rumah dan pesara.
Presiden Persatuan Penyedia Latihan Bumiputera Malaysia (MBTA), Azman Shah Aziz berkata, persatuan merupakan sebuah organisasi penyedia latihan, akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti HRDF sebagai rakan penyumbang dalam memastikan usaha murni industri sumber manusia dapat dicapai dengan jayanya.
“Melalui pendedahan yang diberikan menerusi inisiatif Penjana HRDF, kami berharap dapat menyediakan ruang dan peluang kepada pemain industri pembangunan sumber manusia.
“Kami bersyukur kerana dengan adanya inisiatif tersebut, peranan MBTA sebagai rakan kerjasama dapat diperkukuhkan lagi dalam memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penjana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Jun lalu adalah pakej rangsangan ekonomi yang menyediakan pelbagai insentif cukai, sokongan kewangan untuk perniagaan dan subsidi gaji yang bertujuan membantu perniagaan pulih daripada kesan pandemik Covid-19.
Ia merangkumi rancangan komprehensif termasuk program gaji bersubsidi, latihan dan peningkatan kemahiran, pelepasan cukai dan geran serta pelbagai inisiatif lain untuk membantu perniagaan serta mengurangkan kadar pengangguran.
Secara keseluruhan, peruntukan Penjana HRDF berjumlah RM500 juta dengan peruntukan RM250 juta adalah daripada kerajaan manakala RM250 juta lagi merupakan geran sepadan daripada HRDF.
Ujar Azman, melalui inisiatif berkenaan, MBTA telah menyediakan beberapa modul latihan untuk ahli-ahli termasuk pensijilan ejen takaful, kemahiran membina perniagaan secara dalam talian, kemahiran sebagai penyembelih profesional untuk daging halal khusus kepada golongan B40 dan kursus menaik taraf daya saing bagi usahawan PKS.
Sehingga kini, sebanyak 41,000 pekerjaan telah diluluskan manakala 16,000 rakyat Malaysia sudah mula bekerja menerusi inisiatif Penjana HRDF. – UTUSAN








