Pemulihan ekonomi lonjak Bursa - Utusan Malaysia

Pemulihan ekonomi lonjak Bursa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang bertambah pulih berbanding -17.1 peratus pada suku kedua 2020, membuatkan indeks penanda aras FBM KLCI terus mencatatkan peningkatan prestasi apabila ditutup hampir 1,600 mata semalam.

Dalam masa yang sama, berita baik mengenai vaksin Covid-19 yang dilapor mempunyai 90 peratus keberkesanan untuk ujian klinikal ketiga dan persetujuan kerajaan memanjangkan lagi tempoh moratorium turut menyum­bang kepada prestasi positif Bursa Malaysia.

Namun begitu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim menjangkakan FBM KLCI masih kekal berlegar pada tahap antara 1,520 hingga 1,550 mata dalam masa terdekat.

Menurut Adam, ketidaktentuan politik masih kekal dalam keadaan sekarang dan pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan penurunan kes dengan drastik.

“Peningkatan prestasi FBM KLCI akan membuatkan kaun­ter-kaunter yang tidak bergantung erat dengan kitaran ekonomi dilihat menjadi pilihan pelabur seperti Nestle dan F&N.

“Ia kerana permintaan terhadap produk keluaran mereka sentiasa utuh tidak bergantung sangat kepada kitaran ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

FBM KLCI mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila terus merekodkan peningkatan positif.

Semalam, indeks penanda aras utama negara itu ditutup pada kadar 1,590.78 mata iaitu melonjak sebanyak 20.70 mata selepas turun sedikit 4.99 mata kepada 1,570.08 mata pada penghujung sesi dagangan Rabu lalu.

Selasa lalu, Bursa melonjak 50.75 mata kepada 1,575.07 mata susulan berita positif melibatkan perkembangan penemuan vaksin Covid-19 yang diumumkan Pfizer dan BioNTech.

Dalam pada itu, Adam berkata, kebanyakan pelabur memilih kaunter melibatkan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) disebabkan faktor ketahanan yang dimiliki kaunter berkenaan.

“Jumlah dagangan juga dijangka kekal tinggi buat masa terdekat kerana jika kerajaan mengumumkan pemanjangan moratorium, pelabur runcit akan mempunyai lebihan wang untuk digunakan sebagai pelaburan dalam pasaran saham,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN