Pelaburan bukan perbelanjaan - Utusan Malaysia

Pelaburan bukan perbelanjaan

Kuala Lumpur antara yang menjadi pilihan warga asing untuk tinggal di negara ini di bawah program MM2H.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disifatkan menepati intipati mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewa­ngan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan adalah pelaburan yang akan memberi pulangan kepada negara pada masa akan datang.

“Kerajaan tidak memper­kenalkan cukai baharu atau menaikkan cukai sedia ada, kecuali cukai dosa di pulau bebas cukai ke atas rokok, dan sanggup mengambil tanggungjawab sepenuhnya tanpa membebankan rakyat.

“Saya harap ekonomi kita pulih kembali sepenuhnya dan ‘perbelanjaan’ belanjawan ini harus dilihat dari konteks ‘pelaburan’ yang akan mendatangkan pulangan bukan sahaja kepada rakyat malah kepada negara dan perniagaan tempatan pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Belanjawan tersebut memperuntukkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai tertinggi dalam sejarah belanjawan tahunan negara de­ngan 73.3 peratus daripadanya untuk perbelanjaan mengurus (OE), 21.4 peratus untuk per­belanjaan pembangunan (DE) manakala 5.3 peratus bagi Kumpulan Wang Covid-19.

Antara perbelanjaan yang disambut baik oleh Baharom adalah bantuan berbentuk tunai yang dapat meringankan beban golongan miskin dan rentan serta keutamaan kepada negeri yang secara tradisinya ketinggalan seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Mungkin ada yang menginterpretasikannya sebagai ‘balasan’ kepada pengukuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun bagi saya, ia dapat mengurangkan jurang pendapatan antara negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Perbelanjaan dalam sektor kesihatan juga dilihat bertepatan kerana bukan hanya menghargai petugas barisan hadapan melalui pemberian bantuan sekali beri, malah membantu mereka menjalankan tugas de­ngan peruntukan membeli pe­ralatan pencegahan serta rawatan merangkumi peruntukan vaksin.

“Agihan kepada sektor kesihatan juga agak besar dan ini membuktikan betapa penting­nya kita mengatasi krisis kesihatan.

“Peruntukan khas untuk me­ngatasi tekanan perasaan atau kesihatan mental akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik juga amat bertepatan serta kena pada tempatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN